Wednesday, July 1, 2015

AMALKAN KESEDERHANAAN , TOLAK FAHAMAN EKSTREAM




KUALA LUMPUR - Masyarakat Islam perlu mengamalkan konsep kesederhanaan, dan menolak sebarang anasir ekstrem dan liberal dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai amalan seharian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Perdana Menteri berkata Islam adalah agama yang mengamalkan budaya keamanan, dan bukan agama keganasan.
    
"Ia menjurus kepada kesederhanaan..tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu liberal. Fahaman militan IS ditolak kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai Islam, kemanusiaan dan nilai-nilai murni.
    
"Malah dalam peperangan, umat Islam diharamkan untuk membunuh orang awam," katanya ketika berucap pada majlis penerapan nilai-nilai murni dan majlis berbuka puasa bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini malam ini.
    
Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
    
Najib turut melahirkan penghargaannya di atas usaha dan kerja keras PDRM kerana menjaga keselamatan dan keharmonian negara sehingga tidak wujud  sebarang anasir keganasan dari segi ideologi di Malaysia.
    
Malah, katanya, kadar jenayah telah menurun kepada 40 peratus sejak dasar transformasi negara untuk mengurangkan kadar jenayah diperkenalkan
    
Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan 15,000 unit rumah baharu untuk warga polis dan kertas cadangan mengenainya akan dibentangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet tidak lama lagi.
    
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada 108 anak yatim dalam kalangan warga PDRM.
    
Selain itu, perdana menteri turut menyampaikan sumbangan RM1juta untuk masjid-masjid PDRM di seluruh negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment