Friday, March 20, 2015

MALAM YANG CUKUP BERMAKNA SEBAGAI SEORANG AYAH - sinar harian

  • Najib: Malam cukup bermakna sebagai ayahPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menikahkan anaknya, Nooyana Najwa dengan pilihan hatinya, Daniyar Kessikbayev pada majlis akad nikah di Seri Perdana di Putrajaya malam tadi. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, di sini, malam tadi.
 
Datuk Seri Najib Razak menyempurnakan sendiri pernikahan anak sulungnya dengan Datin Seri Rosmah Mansor itu.
 
"Syukur Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Moga Gina (panggilan nama anaknya) dan Daniyar sentiasa bahagia dan dirahmati ALLAH SWT," tulis Perdana Menteri dalam catatan di Twitternya usai majlis malam tadi.
 
Pilihan hati anakya, Daniyar melafazkan akad nikah itu dalam Bahasa Malaysia.
 
Adik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohamed Nizam, menjadi saksi akad nikah tersebut.
 
Pada majlis penuh bersejarah bagi Najib itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah turut berkenan berangkat ke majlis yang bermula jam 9 malam.
 
Turut berangkat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet juga hadir.
 
Turut bersama ialah ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin.
 
Terdahulu, Najib menulis di Twitternya mengenai pernikahan anaknya itu dan mendoakan anaknya menjadi isteri yang solehah.
 
"Malam ini amat bermakna bagi saya sebagai seorang ayah," tulisnya.
 
Nooryana Najwa, 27, mengenali Daniyar, 27, ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat.