Monday, March 30, 2015

KUASA DAN BUDAYA MELAYU


Kita orang Melayu dijajah oleh Barat selama 450 tahun, bermula dengan kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Negeri-negeri Melayu Semenanjung kecil-kecil semuanya dan menjadi lebih kecil kerana terlalu mudah memberi wilayah untuk raja-raja kecil mendirikan pemerintahan sendiri. Tiap kali ada kemangkatan raja maka berebut-rebutlah waris untuk menduduki takhta. Dalam perebutan ini waris yang lemah suka meminta pertolongan daripada kuasa asing dan meletakkan diri serta negeri di bawah naungan kuasa yang menolong.


 Akhirnya semua negeri Melayu ini ditakluk oleh orang asing. Tetapi orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk membebas atau memajukan diri. Mereka berasa senang hati menerima `political pension` dan menyerahkan pemerintahan serta ekonomi kepada penjajah dan kaum mendatang. Oleh kerana kutipan cukai biasanya dilesapkan oleh pegawai dan sedikit benar yang sampai ke tangan raja, kutipan cukai ini diserahkan kepada kapitan-kapitan Cina yang menjamin pulangan yang lebih tinggi. Demikian juga monopoli candu diserahkan kepada kaum pendatang kerana kurang percaya kepada pegawai sendiri. Apabila kaum pendatang memasuki bidang perniagaan, orang Melayu pun mengundur diri dan menyerahkan bidang ini kepada kaum asing. Demikian juga oleh kerana pendatang dari China menjamin pulangan yang lebih tinggi dan tetap daripada perlombongan timah, pembesar-pembesar Melayu menyerahkan tanah mereka untuk diusahakan oleh orang asing ini.

 Akibatnya kaum pendatang bertambah sehingga mereka lebih ramai daripada orang Melayu. Jika tidak kerana resesi pada tahun 1920 hingga 1930 yang menyebabkan ramai daripada mereka kembali ke negara mereka, apabila tuntutan untuk kemerdekaan dibuat hasilnya mungkin seperti yang terdapat di negara jiran di selatan.