Tuesday, February 3, 2015

SEBANGSA TIDAK SEAGAMA - Ridhuan Tee Abdullah

NOMY Nozwir menulis surat terbuka kepada saya, Tee Chuan Seng, disiarkan laman web ultra kiasu, pada 24 Januari 2014. Biar saya jawab, agar semua faham, mudah-mudahan kendur sedikit ultra kiasunya.

Memang nama asal saya Tee Chuan Seng. Bila memeluk Islam pada 1985, saya terpaksa menurut arahan pejabat agama, agar hanya mengekalkan surname sahaja, menjadi Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah.

Tee, menunjukkan saya Cina. Kini, hasil perjuangan kami, orang Cina atau sesiapa sahaja yang memeluk Islam, boleh mengekalkan nama lamanya, asalkan tidak ada konotasi dengan unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan mereka. Dalam makna, saya boleh mengekalkan nama saya dan berbinkan bapa saya.

Namun, perlu juga diingat, tidak salah meletakkan nama-nama Islamik, malah ia digalakkan. Berbinkan Abdullah, bukan bermakna menukar nama bapa, Abdullah itu bermakna hamba ALLAH. Tidak salah, kerana bapa saya adalah juga hamba ALLAH.

Sebaik-baik nama dalam Islam adalah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulama atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh ALLAH adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman.

Saya cadangkan saudara tukar nama lebih baik dari Nomy kepada Karomi. Lebih comel.

Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya daripada Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari. Rujuk e-fatwa.

Apakah kita lupa, apabila orang Melayu memeluk Islam 600 tahun dahulu, nama-nama mereka yang pelik seperti Buyung, Melati, Kencana dan sebagainya, telah bertukar menjadi Umar, Osman, Ali, dan lain-lain. Jika saudara faham Islam, ini bukan soal nama-nama Arab, tetapi agama kita galakkan. Nama yang pelik-pelik, kadang kala boleh merosakkan akidah.

Saya labelkan peguam ultra kiasu si sepet, supaya kita lebih faham siapa yang saya rujukkan. Label ultra kiasu adalah kajian PhD saya merujuk kepada mereka yang tidak mahu kalah, asyik mahu menang dalam segala hal. Ia sudah jadi trademark saya.

Saya merujuk kepada mereka yang berada dalam PKR dan DAP, dan sesiapa sahaja yang menentang Islam, Melayu dan Raja serta Perlembagaan, termasuk mereka yang berada dalam BN. Orang Melayu pun boleh menjadi ultra kiasu jika mereka menentang Islam atau menjadi liberal dan pluralis.

Mereka ini adalah musuh-musuh Islam dan mahu menghancurkan Islam. Fakta saya, umat Islam tidak pernah mencampuri hal ehwal agama lain amat jelas. Tindakan pihak penguasa agama terhadap ultra kiasu seperti rampasan bible di Selangor adalah dalam bidang kuasa jabatan agama. Baca undang-undang dan peraturan itu.

Berkaitan supaya masuk ke gereja hanya untuk mendapat maklumat. Bagaimana maklumat boleh diperoleh, jika tidak berbuat demikian. Selama ini maklumat diberi oleh kawan Kristian saya yang pro Islam.

Ultra kiasu tidak perlu menyamar masuk masjid kerana mereka boleh ikuti khutbah Jakim secara langsung di TV. Bukankah Islam agama persekutuan?

Ultra kiasu yang mengatakan khutbah Jakim ekstrem, sila nyatakan bila dan di para mana. Setakat mana ilmu Islam dia ada, untuk mengatakan khutbah tersebut ekstrem.

Sejak dahulu saya sudah tulis, saya tidak pernah membenci bukan Islam atau kaum saya. Bagaimana Islam boleh berkembang jika kita bermusuh. Musuh saya adalah ultra kiasu yang menentang Islam dan undang-undang negara ini.

Negara ini, asal-usul dan akar umbinya berasaskan Islam. Sebab itu, agama Islam mendapat tempat dalam perlembagaan. Maka tidak salah, jika Islam dilebihkan sedikit berbanding agama lain.

Jika saya membenci bukan Islam bermakna saya membenci ciptaan ALLAH SWT. Saya cuma benci sikap dan perangai mereka yang tidak pernah bersyukur.

Saya tidak pernah mendakwa saya orang Melayu atau menghina bangsa dan keturunan saya. Saya dilihat seolah-olah lebih Melayu dari Melayu, kerana orang Melayu sendiri takut untuk bersuara, hanya kerana untuk kuasa politik.

Prinsip saya, apabila berlaku pertembungan antara agama vs bangsa. Maka, agama mesti diutamakan, berbanding bangsa. Sebangsa tidak seagama vs seagama tidak sebangsa, pilihan saya adalah seagama tidak sebangsa.

* Penulis ialah pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA

No comments:

Post a Comment