Sunday, February 1, 2015

KRISIS PAKATAN MENJERUT LEHER SENDIRI

Oleh Dato’ Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif YPPM

MANTRA yang sering dilaungkan parti yang menganggotai Pakatan Rakyat (PR) ialah ‘ayunan dua peratus undi lagi akan membawa kita ke Putrajaya.’
Tapi ini tidak semudah yang pemimpin PR jangka kerana selain usaha Umno-BN memantapk
an jentera parti dan mengatasi kelemahan menghadapi realiti politik semasa, PR sendiri menjerat diri dengan pelbagai konflik, perbalahan dan kemelut yang sukar dirungkai.
Dua tahun selepas ditubuhkan pada 2008, PR terpalit dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang serius sehingga memaksa Datuk Zaid Ibrahim keluar PKR, dan seterusnya menubuhkan parti baharu.
Selain beliau, berpuluh lagi pemimpin Pas, DAP dan PKR keluar pakatan yang suka berkomplot dan ‘membunuh’ sesama sendiri semata-mata kerana kuasa, kekayaan dan pengaruh.
Kini, muncul clique atau pasukan berlawanan sesama sendiri dalam PKR, DAP dan Pas. Sering kali ahli, penyokong dan aktivis terkapai-kapai memikirkan apa yang sedang berlaku ‘di atas’.
Paling klasik ialah krisis Menteri Besar Selangor selepas PRU13. Secara tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi jalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Penduduk dan pengundi kawasan Kajang, malah hampir semua ahli dan penyokong PR terkejut dengan tindakan yang dipanggil Langkah Kajang. Dari situ bermulalah satu siri krisis yang panjang membabitkan keseluruhan kepimpinan PKR, DAP dan Pas, serta memalitkan pihak istana Selangor dan memangsakan rakyat Selangor.
PR terpaksa membayar harga politik yang cukup mahal.
Keyakinan dan kepercayaan pengundi terhadap PR tergugat secara serius, dan sehingga hari ini, kesannya masih berterusan. Hubungan PKR, DAP dan Pas semakin renggang dan tidak mesra. Walaupun sekali sekala ada pemimpin mereka cuba melunakkan suasana, tapi hakikatnya semua orang tahu.
Misalnya, dalam keadaan sekarang, mahukah PAS pinjamkan logonya kepada DAP seperti yang pernah ditawarkan satu masa dulu? Lebih relevan mungkin DAP pun tidak ‘hingin’ lagi.
Dalam parut krisis pergelutan kuasa di Selangor masih ada, PR terjerat lagi dengan isu hukum hudud di Kelantan. Sudah berbulan-bulan, pemimpin Pas dan DAP saling bertikam lidah, menuduh dan mencabar untuk keluar PR.
Seminggu kebelakangan ini, hubungan Pas dan DAP diuji lagi kerana perbezaan pendapat mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Pemimpin tertinggi kedua-dua parti berkelahi di ruang awam manakala penyokong masing-masing saling mengutuk di ruang media sosial.
Keluh kolumnis Harakah, Lim Hong Siang: “Apakah hubungan PR mampu diperbaiki (dan) kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap PR mampu dikembalikan? Saya tidak nampak ada usaha untuk membubuh noktah kepada kemelut yang sedang berlangsung sekarang.
“Ironinya pemimpin PR dengan yakin mendabik dada mereka mampu menawan Putrajaya, seandainya berjaya memujuk dua peratus pengundi lagi untuk menyokong PR. Sejarah mengingatkan kita andaian ini meleset, dan antara faktor kegagalan PR dalam PRU13.”
Beliau mengingatkan, dalam perhitungan PR mahu menang lebih banyak kerusi di Sabah, Sarawak dan Johor, ia kehilangan negeri Kedah dan setahun selepas PRU13, kalah di Teluk Intan (dan Pengkalan Kubor).
“Berapa lagi kerusi yang ditawan Pakatan dengan majoriti tipis mampu dikekalkan? Mengapa kuasa boleh terlepas dari tangan Pakatan, sungguhpun telah memiliki 51 peratus undi?”
Setiausaha Agung PAS Dato’ Mustafa Ali, bimbang dengan trend pemimpin PR yang sering membuat kenyataan media yang merenggangkan hubungan parti sekutu, mengelirukan ahli dan penyokong parti, serta membuka ruang diserang musuh. Beliau tidak sedar bahawa beliau juga merujuk diri sendiri.
Kata seorang kolumnis Harakah: “Penyatuan fikrah, wala’ dan kerahsiaan jemaah tidak lagi boleh disandarkan untuk dijadikan asas kekuatan berjemaah. Semuanya dilanggar gara-gara ‘kebebasan bersuara’ dalam media maya yang dianggap seolah-olah platform teragung mengatasi semua disiplin jemaah.
“Amat malang apabila sebahagian sukarelawan maya Pakatan kini bertarung sesama sendiri secara sepenuh masa. Bahkan segelintir daripada mereka langsung tidak menyerang BN lagi, sebaliknya leka menyerang pemimpin dari parti sendiri atau parti politik komponen Pakatan.
Mereka mengambil ‘jalan selamat’ mewujudkan akaun maya menggunakan nama samaran dalam melancarkan serangan terhadap pemimpin tertentu dalam parti sambil mengadu domba, yang boleh bawa perpecahan dalaman.”

No comments:

Post a Comment