Wednesday, February 4, 2015

HUKUMAN BERAT KEPADA YANG MENAIKAN HARGA BARANG

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010

Bermula pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 mula dikuatkuasakan. Akta baru ini menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.

Pencatutan ertinya mengambil keuntungan secara berlebihan(profiteering).

Melalui akta baru ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan dan akan menjadi satu platform penting yang menjaga hak dan kepentingan pengguna.

Akta ini digubal bagi mewujudkan sebuah mekanisme menghalang dan melarang peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab dan peniaga tidak boleh menaikkan harga barang serta mengaut keuntungan berlebihan sesuka hati sehingga menyusahkan pengguna.

Sekiranya melanggar peraturan tersebut, mereka akan berdepan hukuman berat bagi menyekat sikap tamak berkenaan.

Dengan pelaksanaan undang-undang itu, ia akan dapat menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab di negara ini. Dalam Akta ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Akta ini juga meneruskan peraturan dalam Akta sebelumnya, iaitu penjual barang dan perkhidmatan hendaklah mempamerkan senarai harga barang dan perkhidmatan di tempat yang mudah untuk dilihat oleh pelanggan. Kepentingan utama akta ini adalah untuk menetapkan peraturan bagi memastikan tidak ada peniaga menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah.

Akta ini memberi kuasa kepada Menteri PDNKK untuk menetapkan satu mekanisme penetapan harga yang munasabah berdasarkan elemen-elemen dalam penetapan harga seperti cukai, kos pembekal, keadaan penawaran dan permintaan, keadaan geografi dan pasaran serta faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kedudukan harga.

Bagi membantu dalam pelaksanaan akta ini, sebuah Majlis Penasihat Harga Barang ditubuhkan. Ia dianggotai golongan peniaga, pengguna dan pegawai kementerian yang akan menjalankan pemantauan ke atas semua peniaga. Jika didapati peniaga menaikkan harag barang tanpa sebab, jawatankuasa terbabit akan membuat laporan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

Peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan. Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala untuk kesalahan seterusnya, dikenakan sehingga RM 1 juta.
 Oleh itu Akta Anti Pencatutan diwujudkan bagi menyekat peniaga membuat keuntungan tanpa had dan akta ini juga membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga tanpa menunggu aduan daripada pengguna. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga sesuatu barang sekiranya harganya benar-benar meningkat di pasaran dunia.

Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar kawalan terutama melibatkan barangan yang diimport seperti susu tepung dan bawang putih kerana harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari negara asal turut meningkat. Justeru walaupun akta ini digubal bagi menyekat peniaga daripada mengaut keuntungan tidak munasabah, namun ia masih tidak boleh menghalang pengeluar menaikkan harga barang tersebut sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia.

Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab munasabah.

Oleh itu pengguna disaran merancang perbelanjaan, sentiasa bijak dan berhemah setiap kali membeli barang.

No comments:

Post a Comment