Sunday, January 25, 2015

PINDAAN AKTA KANAK-KANAK 2001: JANGAN TERGESA-GESA JENAYAHKAN IBU BAPA

KENYATAAN AKHBAR

DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA

PINDAAN AKTA KANAK-KANAK 2001:
JANGAN TERGESA-GESA JENAYAHKAN IBU BAPA

KUALA LUMPUR, 25 JANUARI 2015 – Saya merujuk kenyataan akhbar oleh YB Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung cadangan untuk menjadikan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah. Wanita UMNO mempertahankan hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan, pengabaian, penderaan dan keganasan. Namun begitu, pindaan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam serta meminta supaya pihak kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam hal ini, saya harap pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak yang berkepentingan (stakeholders) seperti Persatuan Ibu Bapa, pakar psikologi, NGO dan pakar-pakar yang berkenaan sebelum keputusan dibuat.

Saya berpandangan walaupun Malaysia merupakan Negara pihak kepada CRC, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam melaksanakan obligasinya supaya kepentingan terbaik kanak-kanak serta keluarga mereka turut diambil kira, selaras dengan acuan kita sendiri.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child - CRC) yang diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1995, menyatakan bahawa kerajaan perlu mengambil segala langkah perundangan dan pentadbiran sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan oleh ibu bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab menjaga mereka.

Namun, Artikel 5 dan 18 CRC turut menyatakan Negara pihak menggunakan usaha terbaik untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa kedua ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama bagi didikan dan perkembangan kanak-kanak, selaras dengan adat tempatan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu diberi ruang untuk mendisiplinkan anak-anak mereka, tetapi tidak sehingga peringkat mendera.

Saya merujuk kepada keputusan menjatuhkan hukuman ke atas ibu bapa yang merotan anak mereka (seperti kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshaldi di Switzerland pada tahun 2014) boleh membawa kepada PEMISAHAN SEMENTARA antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka. Ada pihak yang menyatakan bahawa perkara ini mungkin bercanggah dengan Artikel 9 CRC yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapanya tanpa kerelaannya.

Wanita UMNO juga meminta supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan satu pertemuan segera dengan semua stakeholders termasuk Wanita Barisan Nasional untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap pindaan undang-undang yang akan dilakukan.

SHAHRIZAT ABDUL JALIL

No comments:

Post a Comment