Thursday, January 22, 2015

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI YB DATUK IR. DR. WEE KA SIONG BERHUBUNG PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI BERKENAAN PERKEMBANGAN EKONOMI SEMASA DAN KEDUDUKAN KEWANGAN NEGARA



20hb, Januari 2015, Putrajaya-

Saya menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berkenaan perkembangan semasa dan kewangan negara pagi tadi.

Di antara penyelarasan penting yang diambil oleh pihak kerajaan berikutan perkembangan semasa global dan dalam negeri baru-baru ini ialah penubuhan Special Relief Facility untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar 2.25 peratus serta penangguhan tempoh bayaran balik sehingga 6 bulan kepada pengusaha SME yang dijejaskan oleh banjir baru baru ini.

Saya menyambut baik pengumuman tersebut dan ia merupakan langkah penting untuk membantu SME yang mengalami kerugian teruk dalam musibah banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini, khususnya di Pantai Timur.

Pengumuman Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa projek-projek mega, seperti MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail KL-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan turut menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara masih stabil dan utuh serta tidak dalam krisis.

Pengumuman ini turut membuktikan desas desus yang mengatakan bahawa industri pembinaan negara akan terbantut adalah dakwaan tidak berasas.

Sebaliknya, dengan adanya projek membaikpulih dan pembinaan semula infrastruktur asas yang musnah dalam banjir serta projek-projek mega tersebut akan dapat merangsang ratusan industri berkaitan (supporting industries), di mana kebanyakan adalah SME.

Pada masa kini, SME menyumbang sebanyak 34 peratus kepada KDNK Negara, dan sasaran kerajaan ialah sumbangan SME kepada KDNK dapat dipertingkatkan kepada 41 peratus menjelang tahun 2020.

Saya yakin strategi-strategi yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam perutusan beliau pagi tadi dapat merangsang pertumbuhan positif SME secara keseluruhannya.

Saya turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk merasionalisasi dan mengurangkan  perbelanjaan kerajaan. Ini mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan negara. Ini merupakan titik permulaan yang baik dan  semoga dapat memupuk budaya berbelanja secara berhemah dalam sektor awam.




No comments:

Post a Comment