Realitinya hari ini, dalam dunia Internet dan media sosial yang mempengaruhi cara masyarakat berkomunikasi dan bergaul, sasterawan tidak lagi dikenali, apatah lagi dibaca karya-karya tulisan mereka. Boleh dikatakan, selain A. Samad Said (itu pun mungkin kerana penglibatannya dalam aktiviti politik pembangkang dan imejnya yang agak berbeza), Sasterawan Negara lain misalnya, hampir tidak lagi dikenali oleh generasi baru. Mereka mungkin hanya dikenali dalam kalangan orang sasterawan. Maksudnya, mereka hanya berlegar dalam kelompok yang sama.


Dalam isu-isu yang menggugat pemikiran masyarakat, yang berlaku dalam negara hari ini, suara dan buah fikiran sasterawan tidak juga kedengaran. Di manakah mereka? Pelbagai isu dan peristiwa yang terjadi telah membuat masyarakat kalut dan tercampak ke dalam kekeliruan-kekeliruan besar. Adakah isu-isu seperti sekularisme, pluralisme atau liberalisme yang sedang menyerang pemikiran rakyat Malaysia tidak sampai kepada pengetahuan mereka?


Itu belum lagi dikira kekeliruan-kekeliruan lain yang timbul kerana pergolakan politik seperti isu perpecahan orang Islam, LGBT, hak-hak keistimewaan orang Melayu, institusi Raja-raja Melayu, dan ancaman hak asasi manusia, termasuk persoalan yang lebih besar seperti Perjanjian Perkongsian Transpasifik (TPPA) yang mungkin menggugat kedaulatan ekonomi negara.


Sasterawan seharusnya muncul mencerahkan minda masyarakat pada masa-masa yang genting sebegini. Berapa ramai sasterawan yang telah dilahirkan melalui pelbagai pertandingan dan anugerah yang dianjurkan badan-badan kerajaan, tetapi dalam keadaan masyarakat memerlukan pandangan mereka, di mana mereka?
Mereka hanya kelihatan bangun bersuara apabila timbul isu-isu berkaitan kedaulatan bahasa Melayu. Itupun hanya bermusim. Contohnya hanya terlibat membaca sajak sempena sesuatu peristiwa yang terjadi seperti tragedi MH370 atau pun seperti tragedi banjir lumpur di Kelantan pada masa ini. Itu sahaja yang kelihatan. Bukan meremehkan isu-isu berkaitan bahasa Melayu, tetapi jika sesebuah bangsa itu musnah, ia akan musnah bersama-sama bahasanya sekali.


Kemusykilannya, dalam isu-isu yang menuntut kepada pemecahan masalah, kebanyakan mereka membisu. Adakah kerana kebanyakan mereka telah menyertai atau menyokong parti-parti politik pembangkang, dan isu-isu besar tadi berkait dengan kepentingan politik kepartian, maka mereka mendiamkan diri kerana khuatir pendirian mereka diketahui? Sekiranya mereka bersuara, pendirian mereka akan terserlah dan segala faedah dan nikmat-nikmat yang diperoleh mereka selama ini mungkin akan terganggu. Adakah mereka sudah kekenyangan dan tidak mahu lagi berbicara kebenaran kerana lebih memikirkan periuk nasi mereka?



Atau kepada sasterawan yang menyebelahi pendirian-pendirian kerajaan dalam isu-isu tertentu, adakah mereka ini takut menghadapi persepsi buruk masyarakat yang akan menganggap mereka ini adalah barua atau penjilat kerajaan? Mungkin bagi mereka, dalam minda masyarakat kebanyakan, golongan sasterawan biasanya digambarkan sebagai pemberontak atau pejuang rakyat tertindas, maka mereka takut suara-suara mereka menyebelahi kerajaan itu dianggap berlawan dengan imej ini.


Sebenarnya ini bukanlah soal politik kepartian. Ia melangkaui politik kepartian. Ia adalah soal kebenaran. Liberalisme sebagai contoh, ia bukan sekadar masalah yang melibatkan kepentingan politik kepartian, malah ia melangkauinya. Ia adalah masalah umat Islam di negara ini yang sedang diserang dari setiap penjuru. Bukankah kata mereka, kebenaran itu mengatasi kebenaran parti-parti politik?


Kemungkinan yang lebih buruk, kebanyakan sasterawan hari ini hanya beretorik dan berkhayal dalam tulisan mereka. Mereka tidak memiliki pemikiran atau gagasan tertentu untuk dirakyatkan, maka tulisan-tulisan khayalan mereka itu hanya akan kekal di dalam buku-buku di khutub khanah. Mereka tidak dapat memasuki dunia realiti. Mereka seperti kera sumbang yang tidak dapat menggauli konflik-konflik besar yang dihadapi masyarakat kebanyakan yang memerlukan penerangan.


Ringkasnya, mereka mungkin hanya pandai bermain bahasa dan menganyam cerita, tetapi tidak memiliki gagasan dan pemikiran tertentu untuk menerangkan kepada rakyat sesuatu permasalahan itu dalam karya-karya mereka. Maksudnya, perkataan seseorang pemikir itu sudah tentu berseni dan indah seperti seorang sasterawan, tetapi seorang sasterawan belum tentu memiliki pemikiran yang sebijak dan sehikmah seorang pemikir. Dalam konteks ini, mereka hanya pandai bercerita dan menganyam bahasa yang kelihatan menarik, tetapi kosong pemikirannya.

Idealnya, sasterawan sebagai individu haruslah mengeluarkan pandangan mereka terhadap sesuatu isu dalam tulisan mereka. Dan sasterawan sebagai sebuah persatuan atau pertubuhan, haruslah bangkit menyuarakan pandangan atas sesuatu isu yang sedang berkecamuk dalam masyarakat bukannya hanya bersuara apabila ia melibatkan sastera dan bahasa semata-mata.


Jika bukan permasalahan seperti ini yang sepatutnya mereka suarakan dalam karya-karya mereka, sasterawan mungkin tidak relevan lagi dalam masyarakat. Sasterawan akan dilupakan sekiranya mereka tidak memikirkan permasalahan masyarakat. Mereka hanya akan menjadi patung-patung bisu, dianggap mulia dan dipuja, tetapi ia tidak memberi manfaat dan tidak juga memberi mudarat, kerana tulisan-tulisan mereka tidak menyentuh nurani masyarakat.