Mohd. Amar Nik Abdullah
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerjasama itu terus dibuktikan lagi dengan penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir dalam usaha bersama-sama membangunkan semula negeri ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kerjasama itu juga adalah amalan biasa di antara kerajaan negeri dan Pusat yang sudah terjalin sejak sekian lama.
“Hubungan Kerajaan Pusat dan negeri sudah wujud sejak sekian lama dengan mereka (Pusat) telah memberikan kerjasama penuh dari segi mentadbir pengurusan. Tidak ada masalah, itu amalan biasa.
“Malah kesan daripada banjir ini, kerjasama itu dipertingkatkan lagi khususnya bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Perbandaran Ko­ta Bharu–Bandar Ra­ya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan pelbagai pihak sebelum ini supaya UMNO dan Pas berganding bahu dengan mengetepikan perbezaan agenda politik demi membantu membina semula kehidupan rakyat Kelantan yang terjejas teruk akibar banjir.
Malah usaha ke arah itu menjadi kenyataan baru-baru ini selepas ke­dua-dua pihak iaitu Kerajaan Pas Kelantan dan Pusat bersetuju mengetepikan ideologi politik dengan menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir peringkat negeri.
Penyatuan tersebut jelas dapat dilihat apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob telah dilantik sebagai pengerusi bersama untuk jawatankuasa itu.
Sementara itu tambah Mohd. Amar, kerjasama yang terjalin di antara Kerajaaan Pas Kelantan dan Pusat sama sekali tidak melibatkan campur tangan politik sebaliknya demi kepentingan rakyat di negeri ini.
“Kerjasama melalui jawatankuasa bersama ini adalah untuk selaraskan gerak kerja. Kalau Pusat sahaja buat ia tidak boleh diselaraskan dengan kerajaan negeri.
“Jadi biar ada kerjasama supaya semua tindakan itu boleh dilakukan secara bersama kerana semua jentera bagi menangani pascabanjir ini melibatkan negeri dan Pusat,” katanya.