Tuesday, December 30, 2014

PERJALANAN GST

Perjalanan GST di negara ini telah melangkau 30 tahun dimana pada pembentangan bajet tahun 1989. Tun Daim Zainuddin telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk melaksanakan GST dan pegawai kanan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan telah membuat lawatan ke Korea Selatan, United Kingdom, Kanada, dan New Zealand untuk mengkaji VAT/GST pada tahun 1991.



Menteri Kewangan selepas itu, Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengulangi bahawa Kerajaan akan melaksanakan GST dalam pembentangan Bajet 1993, namun ianya ditangguhkan.

Dalam pembentangan Bajet 2005, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan GST akan dilaksanakan pada 1 Januari 2007. Ini diikuti dengan penubuhan PANEL KAJIAN SEMULA CUKAI atau "TAX REVIEW PANEL" (TRP) di Kementerian Kewangan dan pasukan petugas GST ( Unit Tugas Khas GST) di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Februari 2005.

Tugas kedua-dua entiti ini adalah membentuk model, perundangan, sistem, prosidur, organisasi, latihan dan publisiti GST.

Namun begitu, Kementerian Kewangan Telah sekali lagi mengumumkan bahawa perlaksanaan GST yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2007 ditangguhkan.

Walau bagaimana pun, usaha perlaksanaan GST telah diteruskan dimana Rang Undang undang GST dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 2009 dan kemudiannya ditangguhkan pada 2010.

Perlaksanan GST telah menjadi realiti di mana YAB Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, pada 25 Oktober 2013 telah membuat pengumuman keramat bahawa GST akan dilaksanakan dengan kadar 6% dan berkuatkuasa mulai 1 April 2015 dengan menyenaraikan secara terperinci senarai pembekalan berkadar sifar dan juga yang dikecualikan yang dicadangkan termasuk pakej cukai dan bukan cukai bagi meringankan tanggungan GST kepada rakyat serta peniaga ke arah persediaan GST.