Wednesday, October 8, 2014

BAGAIMANA BELANJAWAN DI BUAT ?

Tahukah anda bagaimana kerajaan Malaysia menyediakan Belanjawan tahunan? Pernahkah terpacul daripada minda anda soalan-soalan seperti kenapa Kementerian A mendapat belanjawan lebih daripada Kementerian B? Atau kenapa negeri X mendapat lebih banyak peruntukan daripada negeri C?
Memandangkan Belanjawan Malaysia 2015 akan dibentangkan pada Jumaat, 10 Oktober 2015 ini, The Patriots ingin mengajak para pembaca untuk memahami sedikit sebanyak bagaimana Belanjawan Malaysia diperuntukkan.
Bagaimana Belanjawan ditentukan?
Malaysia pada asalnya mengamalkan sistem push-based budget. Dalam sistem push-based budget, belanjawan tahun hadapan ditentukan berdasarkan jangkaan peratusan peningkatan kos perbelanjaan terhadap kos perbelanjaan sebenar sesuatu kementerian pada tahun tersebut. Sama ada kementeriaan tersebut memerlukan peruntukan tersebut atau tidak, itu tidak diambil kira.
Sebagai contoh, Kementerian A mendapat peruntukan belanjawan sebanyak RM10 bilion semasa Belanjawan 2014, tetapi telah membelanjakan sebanyak RM11 bilion pada tahun 2014. Jika anggaran kadar kenaikan perbelanjaan bagi tahun 2015 adalah sebanyak 6%, maka peruntukan kasar untuk Kementerian A akan meningkat kepada RM11.66 bilion.
Bagaimana pula kalau peruntukan belanjawan tidak digunakan?
Katakan Kementerian B mendapat peruntukan sama semasa 2014, iaitu RM10 bilion. Tetapi hanya membelanjakan sebanyak RM9 bilion pada 2014. Maka peruntukan kasar yang bakal diperoleh pada 2015 adalah sebanyak RM9.54 bilion.
Kelemahan Sistem Push-Based Budget
Sistem push-based budget mempunyai kelemahan yang amat ketara iaitu, kementerian yang menerima peruntukan berlebihan akan berusaha untuk menghabiskan peruntukannya agar peruntukan pada tahun terkehadapan tidak akan dikurangkan. Akibatnya, muncul lubang-lubang untuk ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.
Kelemahan dalam sistem ini disedari oleh kerajaan. Oleh itu, sistem belanjawan ini telah diubahsuai untuk mengurangkan ruang untuk ketirisan ini. Pengubahsuaian ini adalah melalui proses perbincangan dengan rakyat dan dibandingkan laporan keperluan oleh setiap kementerian.
Peruntukan Kasar
Kini, setiap kementerian perlu mempertahankan peruntukan kasar yang mereka terima. Mereka perlu menunjukkan bagaimana dan ke mana peruntukan tersebut digunakan secara kasar.
Hujah-hujah daripada kementerian-kementeriaan ini kemudiannya akan dibandingkan dengan maklumbalas daripada rakyat yang diperoleh daripada proses perbincangan dengan rakyat, sama ada melalui perjumpaan secara terus dengan wakil-wakil rakyat, kumpulan-kumpulan berkepentingan* dan terkini, melalui media sosial.
Ruang untuk Diperbaiki
Walaupun sistem hibrid push-based budgeting dan needs-based budgeting ini sedikit sebanyak menutup banyak kelemahan dalam kaedah belanjawan Malaysia dibuat pada masa lampau, The Patriots ingin mencadangkan satu langkah lagi sebagai kaedah penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
Saban tahun apabila Laporan Juru Audit Negara^ diterbitkan, tidak terlepas daripada pandangan bahawa akan adanya berlaku ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Memandangkan laporan ini turut menyertakan laporan ketirisan dalam bentuk kewangan, kami ingin mencadangkan agar agensi-agensi dan kementerian yang mendapat laporan ketirisan ini diperlukan untuk membentangkan permohonan peruntukan belanjawan mereka secara terperinci untuk mendapat kelulusan peruntukan belanjawan.
Pada masa yang sama, Laporan Juru Audit Negara turut membentangkan isu-isu dan permasalahan yang dihadapi oleh agensi dan kementerian akibat kekurangan peruntukan. Laporan ini boleh digunakan sebagai sokongan untuk menambahkan peruntukan kepada suatu agensi dan kementerian, walaupun tidak dipohon oleh agensi/kementeriaan tersebut. Sebagai contoh, isu kapal-kapal dan jeti APMM yang usang.
Peruntukan Perbelanjaan untuk Negeri
Setiap negeri mendapat peruntukan dalam Belanjawan Negara berdasarkan bilangan penduduk di negeri tersebut. Dalam hal ini, negeri Selangor sebagai negeri yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai akan mendapat peruntukan belanjawan tertinggi.
Berdasarkan Bahagian 1, Jadual 10 dalam Perlembagaan Malaysia, peruntukan bagi setiap negeri ditentukan berdasarkan kadar-kadar berikut:
a. Untuk 100,000 orang pertama, diperuntukkan sebanyak RM72 bagi setiap individu,
b. Untuk 500,000 orang seterusnya, diperuntukkan sebanyak RM10.20 bagi setiap individu,
c. Untuk 500,000 orang seterusnya, diperuntukkan sebanyak RM10.80 bagi setiap individu,
d. Untuk setiap individu seterusnya, RM11.40 bagi setiap individu.
Bilangan penduduk dalam setiap negeri ini ditentukan melalui 2 cara;
1. Bancian penduduk yang perlu dibuat setiap 5 tahun.
2. Ekstrapolasi bilangan penduduk berdasarkan kadar pertambahan bilangan penduduk.
Dengan menggunakan Sarawak sebagai contoh, bilangan penduduk Sarawak pada 2013 adalah 2.619 juta orang (wikipedia). Dengan mengambil kira kadar pertambahan penduduk sebagai 4% (anggaran semata-mata), bilangan penduduk Sarawak pada tahun 2015 dianggarkan pada 2.832 juta. Oleh itu, peruntukan yang bakal diterima oleh Sarawak adalah RM37,444,800.
Oleh itu, proses pembancian penduduk yang dibuat setiap 5 tahun, walaupun dilihat seperti membazir masa, sebenarnya amat penting kepada wadah pembangunan kebangsaan.
Peruntukan Khas bagi Sabah dan Sarawak
Dalam Bahagian 4 Jadual 10, Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan.
Sarawak mendapat peruntukan khas sebanyak RM5,800,000 setiap tahun bersertakan peruntukan khas lain yang ditentukan di bawah Artikel 112D. Dalam artikel ini, pendapatan yang dihasilkan dalam Sarawak yang sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan berdasarkan Jadual 9, tetapi tidak dituntut oleh Kerajaan Persekutuan.
Sabah pula mendapat peruntukan khas tidak kurang daripada RM5,179,500 setiap tahun, dan sebanyak 40% pendapatan Kerajaan Persekutuan yang diterima daripada kawasan-kawasan Sabah setiap tahun.
Pendapatan yang diterima daripada percukaian (cukai pendapatan dan eksais kastam) bagi kedua-dua Sabah dan Sarawak pula tidak dihantar kepada kerajaan Persekutuan, dan sebaliknya menjadi sebahagian daripada peruntukan terus kepada Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment