Monday, September 15, 2014

Pandangan Subki Latif - Nik Abduh


Pandangan dan tulisan saya mengenai krisis PR di negeri Selangor akibat Langkah Kajang yang sumbang telah mengundang reaksi yang banyak antara pujian dan kritikan yang keras.
Saya menekuni lebih 500 komentar di FB ini selain beberapa pautan lain di media baru dan akhbar juga. Saya ucapkan terima kasih atas kesudian para pembaca untuk berkongsi pandangan.
Antara yang aktif menulis dan mengulas isu Selangor ini ialah Pak Subki Latif, veteran politik PAS yang begitu dihormati tulisannya. Hampir semua ahli PAS sejak dulu lagi membaca tulisannya terutama melalui kolumnya di dalam akhbar rasmi parti, Harakah.
Ayahanda TGNA juga adalah pembaca tetap kolum beliau itu. Beliau selalu bertanya saya, "Dah baca tulisan Subki Latif dalam Harakah minggu ni?" Mungkin, selain meminati pandangan beliau, ayahanda juga akan mudah mengingati balik dan menghadam sejarah lama parti PAS yang selalu menjadi senjata utama yang mengukuhkan isi dan hujahan Pak Subki Latif dalam tulisannya.
Saya sejak zaman remaja di awal 80an lagi telah pun membaca tulisan-tulisan beliau. Saya juga membaca buku-buku politik daripada penulis-penulis politik yang lain. Antaranya Mohd Sayuti Omar (MSO). Beliau peminat tegar krisis politik. Cuma, sekarang saya agak jarang membaca tulisan beliau. Kelihatan tulisannya kini agak kelam kabut sikit. Mungkin cuaca politik hari ini dah mengelirukannya. Sekali nampak macam El Nino, rupa-rupanya La Nina yang datang.. Bagi saya, beliau patut kembali ke tapak asalnya agar tulisannya kembali segar.
Saya sering dihujah sebagai masih mentah untuk mengulas isu-isu politik yang panas sekarang. Sementelahan KPInya tinggi sangat. Nik Abduh ni tak setara ayahnya.. haha
Pak Subki Latif tak ada siapa sanggup kata dia ni mentah atau tumpul. Kalau ada yang kata, itu tanda kebiulan. Jika ingin mengkritik tulisan beliau, hendaklah cermat, secermat tulisan beliau juga.
Saya sarankan anda membaca tulisan Pak Subki Latif dan pandangan beliau mengenai krisis politik Selangor hari ini. Dipuji dan dikritiknya PAS, PKR dan DAP secara berhemat. Kali ini, kritikannya terhadap PKR begitu tajam dan konsisten.
Antara penegasannya, 2 ADUN PAS yang sumbang itu telah lakukan kerja khianat terhadap parti. Beliau juga menyatakan kehairanannya dengan sikap DAP yang baginya agak pelik.
Oleh kerana tulisan dan pandangan saya begitu sama dengan pandangan beliau, saya begitu teruja. Ada ilmu yang Pak Subki berjaya perturunkan buat saya sepanjang pembacaan saya terhadap tulisan beliau sedari kecil saya. Hikmat orang tua jangan dipinggirkan di dalam menghadam politik baru hari ini.
Jika anda membaca tulisan-tulisan saya, anda akan dapat mengesan sebahagian seni penulisan saya, saya perolehinya daripada seni penulisan beliau yang hebat. Wah, perasan haha..
Generasi muda hari ini kadang-kadang lemah memahami ini. Mereka fikir sejarah tidak lagi bersambungan. Hujah mereka, sejarah ditulis oleh pemerintah yang menguasai dan memaksa. Ia palsu, tak boleh dirujuk. Hujah ini benar, cuma salah pasang dan salah letak.
Saya sarankan anda membaca tulisan-tulisan Pak Subki Latif yang konsisten mengulas isu Selangor, termasuk isu-isu dalaman PAS. Anda boleh membacanya di laman Harakahdaily. Selamat membaca..