Tuesday, August 12, 2014

PAS TERENGGANU AMAT KECEWA HADI DI HINA DAN DI TOHMAH PKR

  • Kecewa peribadi Hadi diserang
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Muslimat Pas Terengganu kecewa dengan pelbagai tohmahan dan serangan ke atas peribadi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tetap berpegang teguh dengan keputusan bersama mesyuarat lalu untuk mengekalkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketuanya, Safinah Jusoh berkata, pihaknya yakin ketegasan Presiden Pas adalah bagi menggalas amanah rakyat yang memberi sepenuh kepercayaan kepada PR pada PRU13 lalu.

Menurutnya, Abdul Hadi sewajarnya tidak bersetuju dengan cadangan PKR, yang secara melulu mencadangkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Saya menyarankan ahli Pas dari pelbagai peringkat untuk memberi thiqah (kepercayaan) dan wala’ (ketaatan) kepada kepimpinan yang dipilih. Sesungguhnya, pimpinan tertinggi inilah mewakili suara ahli Pas keseluruhannya, bukan hanya mewakili pandangan peribadi pimpinan.

“Ketahuilah, tiada kepimpinan tanpa ahlinya dan tiada ahli tanpa ketaatan. Kita berdoa agar segala caci-maki, dakwaan dan kata nista akan dihapuskan.

“Berpegang teguhlah pada ikatan jemaah Islam demi menjaga kesucian perjuangan ini. Semoga ALLAH memberi petunjuk dan hikmah di atas segala ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sementara itu, Pas Kawasan Dungun memutuskan agar Jawatankuasa Disiplin Parti mengenakan tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berikutan tindakannya mengkritik kenyataan Presiden Pas berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kenyataan Mohamed Hanipa dalam satu program pada 5 Ogos di Selangor, baru-baru ini, memberi kesan kepada kepercayaan ahli terhadap Presiden Pas.

Kata beliau, seorang ahli jawatankuasa Pas Pusat tidak sewajarnya membuat kritikan terbuka dan rakaman video hingga tersiar secara meluas di media sosial.

“Demi menjaga kelangsungan wala’ (ketaatan) dan keharmonian Pas dalam menghadapi pelbagai mehnah (ujian), desakan Pas Kawasan Dungun sewajarnya diberi perhatian serius oleh Jawatankuasa Disiplin Parti.

"Satu surat kepada Setiausaha Agung Pas Pusat di e-mel sejurus keputusan Pas Kawasan berkait perkara ini dan penyerahan terus surat ini akan dibuat hari ini (semalam). Kita terima apa jua tindakan yang bakal diambil dan berharap keharmonian Pas diteruskan sebagai parti Islam tunggal di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment