Wednesday, April 9, 2014

BN bidas Selangor mansuh diskaun harga rumah untuk Bumiputera

APRIL 08, 2014

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor membidas keputusan kerajaan negeri Selangor memansuhkan diskaun 7% yang diberikan kepada Bumiputera untuk pembelian kediaman mampu milik di bawah Skim Rumah Selangorku. Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias (gambar) berkata kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan perkara itu sebelum membuat keputusan yang membebankan golongan bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri. "Ketika BN mentadbir Selangor sebelum ini, kerajaan negeri tetap memberi diskaun 7% itu kepada Bumiputera walaupun memberi subsidi terhadap pembinaan rumah mampu milik di bawah RM42,000. Ini kerana kedudukan kewangan golongan itu masih lagi rendah. "Bagaimanapun kerajaan negeri hari ini memansuhkan diskaun 7% itu, yang pasti akan membeban dan menyukarkan Bumiputera yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam hari ini.
Shamsudin mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri, Iskandar Abdul Samad (PAS) pada sidang DUN hari ini bahawa kerajaan negeri tidak lagi memberi diskaun antara 5% hingga 7% bagi pembelian perumahan mampu milik, yang sebelum ini diberikan kepada golongan Bumiputera di negeri itu oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Iskandar berkata diskaun itu tidak lagi diberikan kerana harga rumah mampu milik yang dibina kerajaan negeri adalah mengikut harga pasaran dan diberikan subsidi.
Sementara itu, Adun Dengkil Shahrum Mohd Sharif pula mempersoalkan komposisi bilangan unit rumah mampu milik oleh kerajaan negeri di bawah skim itu, yang hanya memperuntukkan 10% rumah jenis A, iaitu di bawah harga RM42,000.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan peratusan lebih besar untuk pembinaan rumah mampu milik jenis B dan C yang berharga antara RM100,000 hingga RM200,000 iaitu 30%. Begitu juga untuk perumahan mampu milik jenis D berharga antara RM220,000 hingga RM250,000, yang tidak mengehadkan peratusan pembinaannya kepada pemaju, katanya.
"Mengapa kerajaan negeri hanya bina 10% sahaja rumah mampu milik di bawah harga RM42,000. Ramai lagi Bumiputera tidak mampu memiliki kediaman mampu milik melebihi harga RM42,000, terutama yang berpendapatan rendah.
"Sepatutnya kerajaan negeri bina lebih banyak rumah mampu milik di bawah harga berkenaan. Jika ini keadaannya bagaimana usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pemilikan perumahan," katanya. – Bernama, 8 April, 2014.

No comments:

Post a Comment