Thursday, October 31, 2013

HUDUD BOLEH DILAKSANAKAN DI KELANTAN


 Wacana Perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan semalam antara lain merumuskan bahawa Kelantan berhak dan boleh melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993.

Malah, menurut Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad salah seorang panel wacana itu berkata, undang-undang itu perlu dilaksana segera kerana sudah 20 tahun diluluskan tanpa perlaksanaan.

Tambah beliau lagi, bagi mencapai hasrat itu Kelantan perlu segera mewujudkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Syariah Khas tiga hakim dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas lima hakim.

"Bagi perlaksanaan hukum ini, pihak kami sudah bersedia dan hanya menunggu keputusan kerajaan Kelantan sahaja dan ia bukannya mudah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah kerana pesalah atau yang dituduh perlu melalui beberapa proses seperti saksi yang cukup dan sebagainya,” katanya di dewan Teratai Kompleks Darulnaim, di sini.

Selain beliau, wacana tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohammad Daud Iraqi dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abd Aziz Bari.

Tambah beliau lagi, Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) juga tidak wajar dijadikan halangan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.
Mengulas dakwaan perlaksanaan hudud bertentangan dengan perlembagaan, Daud pula berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud.

Malah, ujarnya sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.

“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.