Tuesday, October 15, 2013

DILEMA EKONOMI MELAYU

Menjelang tahun-tahun 1930-an orang-orang Melayu mulai sedar bahawa dilema ekonomi mereka sudah terlalu kompleks dan tidak dapat mereka selesaikan sendiri. Pegawai-pegawai tinggi Melayu di dalam perkhidmatan Kerajaan mula merancang langkah-langkah untuk menarik semula orang Melayu untuk memasuki bidang ekonomi. 


Namun , usaha ini agak terbatas kerana mereka tidak mempunyai kuasa mutlak, sedangkan sikap mereka masih terlalu merendah diri kepada pihak British. Kegiatan yang wujud cuma sekadar jualan di pekan sehari, seperti yang terdapat di negeri Kedah, dimana orang-orang Melayu di beri hak sepenuhnya untuk menjual hasil-hasil mereka yang dibawa keluar dari kawasan pendalaman serta barang-barang keperluan hari-hari. Pekan sehari ini memperlihat serta menonjolkan lagi dilema ekonomi orang Melayu. 



Penaklukan oleh tentera Jepun menandakan satu lagi dilema orang Melayu. Dengan kekalahan pihak British beribu-ribu orang Melayu di kawasan bandar yang bekerja dengan kerajaan British telah kehilangan kerja mereka apabila pihak Jepun memberhentikan khidmat mereka. Oleh kerana terdesak pekerja-pekerja pejabat ini terpaksa menjaja dan menjual secara kecil-kecilan untuk hidup mereka. Ketika itu juga mereka sedar, seperti kesedaran yang lahir di kalangan orang Melayu berpengetahuan sebelum perang, bahawa dilema ekonomi orang Melayu sudah berada dalam keadaan yang amat tenat.



Dengan kesedaran ini orang -orang Melayu bukan lebih berazam , sebaliknya hilang pula minat mereka , malahan mereka cuma mahu kembali kepada kehidupan yang mudah dengan kerja tetap di bawah pentadbiran British. Orang Melayu menganggap penceburan mreka dalam bidang perniagaan kecil-kecilan cuma untuk sementara sahaja. Bagi kebanyakkan orang Melayu , mereka tidak pula mahu mengatasi dan menembusi monopoli perniagaan yang dipegang oleh orang-orang cina. Meskipun begitu ada sebilangan kecil orang Melayu yang telah mengharungi rintangan tersebut dengan hasrat mahu mengubah keadaan pada waktu itu. 



Demikianlah keadaan nya yang wujud setelah peperangan tamat dan pihak British kembali berkuasa di Tanah Melayu . Dalam keadaan begini tergerak di kalangan segelintir orang Melayu yang mahu mengunakan kuasa politik yang diharapkan akan dikembalikan kepada Mereka untuk menembusi dunia perniagaan. Malangnya pihak British telah mengejutkan orang Melayu dengan mencadangkan penubuhan MALAYAN UNION dan untuk seketika masalah kelemahan ekonomi orang Melayu telah dipudarkan oleh masalah politik yang memerlukan perhatian segera.

No comments:

Post a Comment