Thursday, September 12, 2013

RAHSIA TERBONGKAR

Rahsia terbesar mengenai pita video lucah yang dibentangkan peguam Karpal Singh (gambar) dalam Dewan Rakyat pada tahun 1992 akhirnya terbongkar.
Bimbang pita tersebut tidak akan diterima dan kemungkinan didakwa kerana memiliki bahan lucah, Karpal merencana pelan bantuan.
Beliau membawa masuk ke Dewan dengan sebotol petrol dan disimpan dalam bekas logam dibina khas yang dipasang dengan kemas dalam beg peribadinya.
Pelan ini adalah untuk menggunakan bekas tersebut untuk memusnahkan bukti di dalam dewan parlimen ketika ia dibahaskan jika Speaker, atau salah satu timbalan beliau mempengerusikan sesi, enggan membenarkan pembentangan pita video itu.
"Saya pada awalnya melakukan ujian ringkas di dalam pejabat saya untuk memastikan pita video tersebut boleh dimusnahkan serta-merta jika ia dikembalikan kepada saya," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Cerita itu yang tidak diketahui umum didedahkan oleh Karpal dalam buku biografinya setebal 325 muka surat, yang dikarang oleh wartawan New Zealand, Tim Donoghue.
Buku berjudul "Karpal - The Tiger of Jelutong" telah dilancarkan di sebuah hotel ibu kota Sabtu lepas oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Ahli politik berusia 73 tahun itu yang terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda akibat kemalangan jalan raya pada 2005 berkata beliau mengetahui pihak polis akan menunggunya di luar Parlimen untuk merampas pita dan kemudiaan mendakwanya.
"Saya tidak mempunyai pembelaan. Saya mungkin didapati bersalah di bawah Akta Penapisan Filem yang membawa kepada denda hampir RM10,000," kata beliau, serta menambah kemungkinan hilang pekerjaannya sebagai peguam dan dilucutkan jawatan sebagai ahli Parlimen.
Pada 20 Julai 1992, beliau mengambil peluang untuk menyerahkan pita tersebut kepada Timbalan Speaker Datuk Seri Ong Tee Keat yang sedang mempengerusikan sidang dewan ketika perbahasan Akta Syarikat.
Semasa perbahasan berlangsung, beliau mengeluarkan pita video daripada beg peribadinya dan berjalan ke arah Ong.
Dengan mengatakan pita video itu adalah hadiah kepada rakan-rakan ahli Parlimen, Karpal lega kerana menjangka Ong sedia menerima dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada prosiding Parlimen.
Beliau berkata mendiang Speaker Tun Mohamed Zahir Ismail kemudiannya telah meminta beliau untuk mengambil kembali pita itu tetapi ditolaknya.
"Seorang pegawai polis juga datang untuk merekodkan kenyataan saya tetapi saya enggan kerana kejadian itu berlaku di dalam rumah, " katanya merujuk kepada hak istimewa yang dimilikinya dalam Parlimen.
Karpal berkata beg peribadinya tersebut kekal di dalam kawasan Parlimen sehingga ia diserahkan kepada pihak polis.
Pada Disember 1989, Karpal menuduh bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat D.P. Vijandran terlibat dalam video lucah sehingga menyebabkan beliau digantung daripada menghadiri sidang Parlimen atas dakwaan melakukan pembunuhan watak.
Setahun sebelum itu, satu laporan polis telah dibuat berikutan penemuan 11 pita video dan empat sampul surat mengandungi 2,000 gambar-gambar yang dicuri daripada peti simpanan rahsia Vijandran selepas rumah disamun.
Pada bulan Januari tahun 1990, pengarah CID Tan Sri Zaman Khan mendedahkan pihak pendakwa raya telah mengarahkan pita video dan gambar-gambar tersebut dimusnahkan.
Karpal berkata malahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga bertanya dimana beliau memperolehi pita tersebut.
Pita video tersebut yang diserahkan Karpal kepada Dewan Rakyat kemudiannya menjadi asas kepada suatu penyiasatan polis yang akhirnya membawa kepada sabitan Vijandran ini dalam satu kes saman sivil kerana menghasilkan bukti pada tahun 1994.
Karpal, yang merupakan saksi pendakwaan, akhirnya mendedahkan individu tidak dikenali telah menelefonnya ketika beliau berada dipejabat guamannya di Pulau Pinang dan memintanya untuk mengutip pita video yang ditinggalkan di depan pintu pejabatnya.
Vijandran didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh tetapi Mahkamah Rayuan pada tahun 1999 dia membebaskannya kerana kekurangan bahan bukti dalam pendakwaan kes tersebut.
Pada majlis pelancaran itu, Donoghue menggambarkan Karpal adalah seorang individu yang lurus dan suka berjenaka.
Beliau berkata ketika sedang mencari penamat kepada buku tersebut, Karpal terlibat dalam satu kemalangan menyebabkan tulang belakangnya patah ketika beliau di dalam sebuah teksi di Pulau Pinang.
Donoghue berkata selepas mendengar tentang kemalangan tersebut, beliau mengganggap buku itu tidak akan diterbitkan.
Buku tersebut dijadualkan keluar pada 1999 tetapi ia ditangguhkan selepas Karpal tewas di kerusi Parlimen Jelutong dalam pilihan raya umum pada tahun itu.
Buku biografi tersebut menceritakan pertarungan perundangan serta politik yang dihadapinya selama 40 tahun. - 12 September, 2013.