Thursday, August 1, 2013

SYARIKAT KHAZANAH LUPUS 55 ASET

KUALA LUMPUR 31 Julai - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah melupuskan 55 aset dan syarikat bernilai RM35.7 bilion yang menghasilkan pendapatan berjumlah RM15.7 bilion dalam tempoh dari tahun 2004 hingga Disember 2012.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, antara aset Khazanah yang dijual adalah Proton Holdings Bhd. kepada DRB-Hicom Bhd. pada tahun 2012, Plus Expressways Bhd. kepada UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2011, Pos Malaysia Bhd. kepada DRB-Hicom pada tahun 2011 serta penjualan Eon Capital Bhd. kepada Hong Leong Bank Bhd. pada tahun 2011.

Menurut beliau, beberapa aset tidak teras yang dilupuskan secara keseluruhannya telah diambil alih pemilikannya oleh syarikat dan usahawan yang dinamik serta berkemampuan.


"Bagi pegangan pelaburan tidak teras pula, ia dilupuskan secara berhemah melalui penjualan di pasaran saham, penjualan ini bertujuan mengurangkan penglibatan kerajaan dalam perniagaan serta merancakkan aktiviti pasaran saham," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Khalid Ahmad yang bertanya kriteria melupuskan syarikat milik Khazanah serta nama syarikat berkenaan yang telah dilupuskan serta pembelinya.

Menurut Ahmad, antara aset Khazanah lain yang dijual ialah Malaysia Airports Holdings Bhd. pada tahun 2012 dan 2010, Tenaga Nasional Bhd. pada tahun 2012 serta Telekom Malaysia Bhd. dan CIMB Group Holdings Bhd pada tahun 2010.

"Walau bagaimanapun, Khazanah masih memiliki peratusan pegangan saham sebanyak 40 peratus dalam Malaysia Airports Holdings, 33 peratus dalam Tenaga Nasional, 29 peratus dalam Telekom Malaysia dan 30 peratus dalam CIMB Group," katanya.

Jelas Ahmad, faktor yang menentukan pelupusan aset adalah termasuk nilai yang telah dicipta dalam syarikat tersebut, kepentingan dan kesesuaiannya kepada pemegang saham serta kemampuan pemilik baru membawa syarikat berkenaan ke tahap kemajuan lebih baik.