Ketika saya bersara pada oktober 2003, kerajaan sedang membina landasan berkembar dari Rawang ke Ipoh. Saya mahukan sesuatu yang berbeza. Pada pendapat saya, kenaikan taraf patut meliputi keseluruhan landasan dari Johor hingga ke sempadan negeri Thai. Dengan Cara itu, kita dapat mempopularkan semula perjalanan keretapi dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan di lebuhraya. Orang ramai mungkin tidak tahu perjalanan dengan keretapi lebih cepat daripada kapal terbang bagi jarak tidak melebihi 400km. Ini kerana keretapi membawa kita terus dari satu bandar ke bandar lain tanpa perlu memandu pergi balik ke lapangan terbang, disampaing memerlukan masa untuk pemeriksaan keselematan dan pendaftaran masuk.
Sejumlah besar muatan berat, termasuk pengangkutan kereta dan kontena keluar masuk di pelabuhan juga boleh diambil alih oleh keretapi, sekaligus megurangkan kesesakan lebuhraya. Malangnya, pemimpin yang mengantikan saya mentakrifkannya sebagai "projek mega" atau dalam pengertian lain, "gajah putih". Alasannya kerajaan tidak ada duit lagi untuk meneruskan projek itu yang kononnya disebabkan tindakkan pembaziran saya. Namun begitu saya gembira kerana sekurang-kurangnya sempat memodenkan landasan diantara Seremban dan Rawang. Hari ini, keretapi komuter elektrik sentiasa sarat tetapi jalanraya sekitar Kuala Lumpur masih juga sesak. Kadar pembinaan jalanraya baru tidak dapat menanmpung pertambahan kenderaan bermotor di ibu negara. Pencemaran udara di Kuala Lumpur tidak lagi disebabkan oleh pembakaran hutan di Indonesia semata-mata tetapi juga oleh asap kenderaan. Mutu udara di Kuala Lumpur tidak akan bertambah baik apatah lagi apabila kereta asing dibenarkan di import dengan harga yang murah.
(TUN MAHATHIR MOHAMAD).
No comments:
Post a Comment