Thursday, August 22, 2013

KJ: PTPTN tidak teruskan CCRIS


SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyatakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menerusi kenyataan beliau yang dipetik dalam akaun Facebooknya (FB) keputusan itu dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan yang telah mendengar pandangan golongan muda.

"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri.

"Alhamdulillah, PTPTN tak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS.

"Terima kasih kepada PM dan menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara orang muda," tulisnya.

Semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno turut membantah tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN disenaraikan di bawah CCRIS.

Sehubungan itu, Khairy telah menyampaikan pandangannya mengenai perkara itu kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh .


Langkah kerajaan untuk tidak menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dianggap satu tindakan bijak dan mampu memulihkan imej kerajaan.

Presiden Kelab Gerak 1Malaysia (KG1M), Datuk Mohd Shukur Shamsudin berkata, pelaksanaan cadangan itu jika dilaksanakan juga secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kerajaan kerana bakal dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.

“Saya memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Kementerian Pendidikan yang peka dengan kebajikan golongan peminjam PTPTN.

"Tindakan pantas ini juga menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat yang membantah cadangan PTPTN itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam yang menyatakan kerajaan bersetuju untuk tidak akan meneruskan cadangan menyenaraikan peminjam ingkar di bawah CCRIS.

Kelmarin, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno turut membantah tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN disenaraikan di bawah CCRIS.

Sehubungan itu, Khairy telah menyampaikan pandangannya mengenai perkara itu kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh .

Menurut Mohd Shukur lagi, sekiranya cadangan itu diteruskan juga, ia lebih banyak menjurus kepada kesan negatif berbanding aspek positifnya.

Katanya, PTPTN akan dilihat terlalu terdesak untuk mendapatkan balik pinjaman daripada peminjam mereka sehingga menggadaikan elemen kebajikan.

“Malahan kerajaan juga akan menerima tempiasnya kerana mungkin dilihat tidak mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ini bukan bermakna PTPTN perlu terus mengalah dengan peminjam PTPTN yang tegar namun mungkin ada mekanisme lain yang lebih praktikal serta harmonis supaya mereka membayar balik pinjaman berkenaan.

“Mungkin PTPN boleh bekerjasama dengan Jabatan Sumber Manusia untuk mengesan peminjam yang sudah bekerja dan seterusnya berbincang dengan majikan untuk membuat bayaran balik pinjaman melalui pemotongan gaji.

“Manakala bagi peminjam baru ataupun yang masih menganggur, PTPTN boleh memberi tempoh masa tertentu atau sehingga mereka mendapat pekerjaan untuk mula melangsaikan hutang berkenaan,” katanya.

Mohd Shukur juga percaya, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh lagi menjadikan isu ini sebagai polemik politik dan cuba mencetuskan kebencian golongan muda kepada kerajaan.

“Kes PTPTN akan sentiasa panas dan pihak terbabit sering mencari peluang untuk menyerang kerajaan dan mempengaruhi golongan muda supaya mengecam tindakan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak agar kerajaan mewujudkan satu agensi seperti mana Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit kepada mana-mana peminjam PTPTN yang bermasalah.

“Masih banyak cara lain sebelum laksana drastik untuk menyelesaikan isu hutang PTPTN ini.

“Perkara ini perlu diperhalusi lagi supaya peminjam tidak tertindas, PTPTN mendapat faedah dan kerajaan pula tidak dipersalahkan,” katanya.

Namun Mohd Shukur juga menasihatkan peminjam supaya menunaikan tanggungjawab mereka melangsaikan pinjaman dan bukannya bersikap lepas tangan.

“Setiap hutang mesti dibayar dan peminjam PTPTN perlu mempunyai kesedaran melaksanakan kewajipan mereka apabila sudah berkemampuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment