Wednesday, July 10, 2013

Undi Sampah PRU13 - Perspektif Malaysia

Undi Sampah PRU13 - Perspektif Malaysia

“Participant of the Trash Voting on the 13th General Election: Malaysia Perspective”.  International Conference on Government Transition and Policy Change Korean Association for Policy Studies Yonsei University, Seoul, South Korea.

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah lebih sebulan berlangsung iaitu pada 5 Mei 2013. Seramai 13,268,002 pemilih berdaftar iaitu 80.2 peratus daripada keseluruhan 16,550,421 populasi rakyat yang berpotensi berusia 21 tahun dan ke atas layak mengundi. Namun hanya 11,256,545 pemilih keluar mengundi iaitu 84.84% daripada pemilih berdaftar. Daripada jumlah tersebut, parti Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan mendapat 5,237,699 undi dan parti-parti pembangkang mendapat 5,816,878 iaitu masing-masing mewakili 47.38% dan 51.67% daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Kemenangan BN dengan majoriti mudah di Dewan Rakyat ditolak ketua de facto Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan justifikasi bahawa PR lebih berhak membentuk kerajaan kerana mendapat undi popular lebih tinggi iaitu 5,624,011 undi. Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian melancarkan rali demonstrasi ke seluruh negara, Blackout 505 dengan terbaru di Kuala Lumpur sepatutnya pada 15 Jun 2013 (esok).

Hakikatnya sejak merdeka, Malaysia menggunakan sistem majoriti mudah, first-past-the-post berasaskan single member constituencies dalam pilihan raya sama seperti amalan di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan India. Calon yang mempunyai undi terbanyak (walau beza hanya satu undi) adalah pemenang. Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada di dalam kerajaan dan parti BN selama 16 tahun juga telah mandapat manfaat sebuah kerajaan yang stabil dan kuat daripada sistem ini.

Sifat dan struktur sosiopolitik rakyat Malaysia masih kuat dengan pengaruh elemen primordial seperti wilayah, agama, kaum dan budaya. Ini menyukarkan kewujudan sebuah sistem demokrasi yang bebas sepenuhnya yang berasal dan diamalkan di kebanyakan negara Barat. Namun di dalam era negara bangsa hari ini, amalan demokrasi yang asli dan langsung sebagaimana di Athens adalah sesuatu yang mustahil. Justeru, kebanyakan negara demokrasi sekarang adalah amalan demokrasi tidak langsung, sama ada yang berbentuk parlimen, presiden, federal atau unitari.

Keputusan PRU-13 yang lalu dilihat sebagai sambungan ‘tsunami politik’ sejak PRU-12 yang mengubah landskap politik negara dengan mengulangi sejarah kehilangan undi popular dan majoriti dua pertiga pada PRU 1969. PRU-13 untuk pertama kali berjaya mengekalkan pola pengundian PRU sebelumnya yang memperlihatkan perubahan yang signifikan dengan swing yang lebih substantif kepada parti pembangkang. Ini sekaligus mengesahkan bahawa keputusan PRU-12 bukan undi protes atau sikap sementara (a passing phase) sebagaimana keputusan PRU 1999 dan PRU 1969 yang berjaya dipulihkan BN pada PRU 2004 dan PRU 1974. Persoalannya jika BN boleh menerima keputusan yang seberat ini mengapa tidak PR akur kepada mandat yang telah diputuskan rakyat pada 5 Mei lalu?
Pada PRU-3 tahun 1969 BN (dulunya Perikatan) hanya memenangi 60 peratus iaitu 95 daripada 144 kerusi Dewan Rakyat dan 162 daripada 282 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan tewas di Kelantan dan Pulau Pinang. Undi popular pula jatuh ke paras 49.3 peratus. Berbanding PRU 1959 dan 1964, prestasi BN merosot hampir 50 peratus. Untuk pertama kali BN kehilangan majoriti di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di Perak dan Selangor.

Undi popular BN sebelum PRU-13 ialah 51.7 peratus (1959), 58.5 peratus (1964), 49.3 peratus (1969), 60.7 peratus (1974), 57.2 peratus (1978), 60.5 peratus (1982), 55.8 peratus (1986), 53.4 peratus (1990), 65.2 peratus (1995), 56.5 peratus (1999), 63.9 peratus (2004), 52.2 peratus (2008) dan 47.7 peratus (2013). Namun BN mendapat perwakilan yang lebih ramai di Dewan Rakyat bermula 1959 dengan mendapat 74 daripada 104 kerusi Parlimen iaitu mewakili 71.1 peratus, 85.6 peratus (1964), 66 peratus (1969), 87.7 peratus (1974), 84.5 peratus (1978), 85.7 peratus (1982), 83.6 peratus (1986), 70.5 peratus (1990), 84.4 peratus (1995), 76.7 peratus (1999), 90.4 peratus (2004), 62.6 peratus (2008) dan 59.9 peratus (2013).

Walaupun terdapat pelbagai ulasan pro dan kontra pasca PRU-13, realitinya PRU kali ini menunjukan demokrasi Malaysia bertambah subur dengan sejarah peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 84.84 peratus, pengundi baru pertama kali paling ramai sebanyak 2.3 juta, penyertaan calon bertanding pilihan raya paling ramai dengan 1,900 pencalonan, pertama kali tiada calon menang tanpa bertanding dan pilihan raya tersengit sehingga melibatkan pertandingan tiga hingga tujuh penjuru. Ini semua memberikan pilihan dan peluang lebih baik kepada rakyat.

Hasil keputusan PRU-13 yang lalu dengan kedudukan hampir seimbang sewajarnya menyedarkan pemimpin dan parti politik untuk menggalakan penyertaan lebih ramai dalam PRU. Pada edisi PRU bulan lalu terdapat 2 juta pemilih tidak keluar mengundi dan 3.3 juta lagi tidak mendaftar sebagai pemilih menjadikan keseluruhannya 5.3 juta rakyat Malaysia. Jumlah sebesar ini boleh menjadi kuasa ketiga antara BN dan PR, di mana jika mereka mengambil bahahagian maka dipercayai akan memberikan kemenangan lebih besar dan kuat kepada parti yang berkenaan.

Ramai sarjana meletakkan penanda aras partisipasi masyarakat sivil sebagai pra syarat demokrasi. Pilihan raya bukan sahaja bertujuan memilih calon atau parti tertentu bagi mengisi jawatan awam atau membentuk kerajaan. Ia juga bertujuan menyokong kestabilan politik, sistem demokrasi dan pendemokrasian. Kegagalan pilihan raya dan demokrasi berfungsi dan dihormati boleh membawa kepada tindakan anarkis, radikal dan revolusi.

Bagi mengelakkan sentimen anti demokrasi maka sudah sampai masanya untuk keputusan PRU-13 diterima dan diabsahkan secara perundangan dan moral. Kerajaan yang baru dibentuk sebulan lalu sama ada di peringkat negara dan negeri perlu diberikan peluang untuk menunaikan tanggungjawab dan mandat yang diterima oleh majoriti rakyat melalui perwakilan mereka di Dewan rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Menyedari hakikat itu, pembaharuan SPR antara lain wajar memfokus kepada usaha meramaikan penyertaan rakyat dalam pilihan raya dengan mekanisme mesra pemilih. Jika tidak, pilihan terbaik BN dan PR untuk melegitasikan keputusan PRU akan datang ialah dengan menggerakkan kempen pendaftaran pemilih di kalangan rakyat Malaysia. BN mungkin boleh berkempen dengen tema “1Undi, 1Malaysia” dan PR dengan tema “Merakyatkan Undi” supaya keputusan PRU-14 selewat-lewatnya pada 2018 adalah muktamad dan tidak mencetuskan keadaan tidak menentu seperti pasca 1969, 2008 dan 2013.

-FAIZAL RIDUAN

No comments:

Post a Comment