Monday, July 8, 2013

SEMUA ORANG ADA HAK UNTUK BERJAYA

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak tanggapan hanya golongan meritokrasi sahaja berhak mencapai kejayaan.

Sebaliknya beliau menegaskan, kumpulan yang bukan kategori meritokrasi juga mempunyai hak untuk berjaya, asalkan peluang diberikan diguna dengan sebaik-baiknya.
Hakikatnya kata beliau, jika meritokrasi mutlak digunakan sepenuhnya sebagai ukuran tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, akibatnya kelak yang kaya akan bertambah kaya manakala golongan miskin terus menjadi miskin.

"Kita harus ingat ada dalam kalangan kita yang gagal memperoleh merit disebabkan berlaku keadaan tertentu. Oleh itu mereka yang kurang berjaya harus juga diberi peluang.
"Kekayaan negara ini harus dikongsi bersama dan bukannya menjadi hak mutlak golongan meritokrasi. Mereka yang kurang berjaya juga harus diberi peluang agar mereka boleh bersama-sama muncul sebagai kumpulan masyarakat yang boleh meraih pendapatan lumayan," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku autobiografi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahman Brothers Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rahman Ibrahim bertajuk Mata-Mata Kini Permata di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini
Buku terbitan Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd. itu dijual dengan harga RM40 senaskhah.

Buku autobiografi itu menceritakan kisah hidup dan pengalaman Abdul Rahman yang juga merupakan bekas anggota cawangan khas lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan.
Dr. Mahathir berkata, mereka yang tergolong di dalam kumpulan merit atau terbaik tidak boleh menjadikan alasan meritokrasi semata-mata untuk membolot setiap peluang demi kepentingan sendiri.

Atas asas itu katanya, kerajaan tetap membantu dan menawarkan peluang kepada golongan bukan merit untuk mencipta kejayaan dalam hidup sama ada di dalam pendidikan mahu pun perniagaan.

Apa yang penting jelas beliau, golongan terbabit khususnya orang Melayu mengambil peluang itu secara bersungguh-sungguh dan bukan mahu menjadi orang kaya dalam tempoh singkat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberi contoh beberapa tokoh dan syarikat Melayu seperti Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, Glomac dan Kumpulan Naza yang terbukti berjaya.

"Kita tidak mahulah apabila diberi permit import (AP) mereka jual AP ini kepada orang lain sedangkan tujuan asal kita membantu mereka.
"Cuba lihat Datuk Rahman apabila diberi AP, beliau berniaga bersungguh-sungguh dan akhirnya beliau berjaya di dalam perniagaan hingga terbit buku autobiografi ini," ujarnya lagi.

Dr. Mahathir turut memberi contoh bagaimana kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu yang berkebolehan walaupun sukar untuk bersaing dengan kaum lain mengikuti kursus perubatan.

"Akhirnya mereka berjaya dan keluar menjadi seorang doktor yang baik. Perkara sama berlaku kepada saya dan akhirnya saya keluar menjadi seorang doktor," ujarnya.
Dalam perkembangan lain kata beliau, ketiadaan undang-undang pencegahan akibat pemansuhan beberapa akta menyebabkan masalah jenayah di negara ini semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment