Wednesday, July 17, 2013

PENJARA ATAU LUCUTKAN KERAKYATAN

Pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mempersendakan Ramadan dengan memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam laman Facebook mereka.
Perkara itu dinyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika memberi maklum balas terhadap tindakan biadab pasangan tersebut.


Malah beliau menegaskan pasangan itu juga boleh disiasat serta didakwa menerusi peruntukan atau undang-undang lain termasuk peruntukan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


''Bukan sahaja Akta Hasutan, kita ada peruntukan undang-undang di bawah SKMM dan sebagainya. Bergantung mana satu undang-undang.
''Tetapi dalam menentukan pertuduhan dibuat, kita kena lihat dari segi undang-undang, fakta dan niat orang itu. Sudah tentu Akta Hasutan dan mereka boleh didakwa. Pertimbangan harus dan akan dibuat (pendakwaan),'' katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Jenayah Siber dan Perundangan : Trend Terkini dan Cabaran Pelaksanaan di Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Semalam, Alvin dan Vivian yang telah mempersendakan umat Islam dan Ramadan dengan mengajak memakan bak kut teh (sup tulang babi), hadir memberi keterangan di pejabat SKMM, di sini.


Kedua-dua mereka memberi keterangan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menyalah guna kemudahan rangkaian sosial.
Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Penguatkuasaan Operasi SKMM, Zulkarnain Mohd. Yassin sambil menambah SKMM akan segera menyerahkan kertas siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.


Pelbagai pihak melihat tindakan pasangan itu sebagai biadab dan mendesak kerajaan supaya mengenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ada tanpa 'membebaskan' mereka hanya dengan permohonan maaf.


Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abd. Rahman berkata, siasatan berhubung kes mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan membabitkan pasangan kontroversi itu dijangka siap dalam masa terdekat.


Katanya, SKMM akan memaklumkan kepada umum sekiranya siasatan telah selesai tetapi buat masa ini segala siasatan masih belum boleh didedahkan.
"Kes masih dalam siasatan dan dijangka siap dalam masa terdekat ini. Apabila selesai nanti, kami akan adakan sidang akhbar dan memaklumkan kepada umum," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.