Thursday, July 18, 2013

HUKUMAN MATI

- Seorang penjual kayu gaharu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Kulim tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Rohaizal Mohd. Rashid, 34, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Rohaizal bersama seorang yang masih bebas dituduh membunuh Mohd. Noor Khairulizam, 26, antara pukul 7 hingga 9 malam di kawasan semak hadapan Kelab Golf Kulim pada 13 November 2010.
Tertuduh yang berasal dari Baling dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mohd. Zaki dalam keputusannya menyatakan, tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika membela diri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.