Sunday, June 2, 2013

SYEIKH QARDHAWI GELAR SECARA RASMI HIZBULLAH DENGAN "HIZBU SYIATAN" DAN KETUA MEREKA, HASAN NASRALLAH SEBAGAI "NASRA SYAITAN"


BASYAR PERNAH MINTA SAYA SOKONG DIA MELALUI KHALID MASH'AL-SYEIKH QARDHAWI

Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Prof. Dr.Yusuf Qardhawi mengulangi seruan jihad bagi menentang rejim toghut Basyar Al-Assad dan militia Hizbullah yang membunuh pengikut Sunni. 

Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan beliau semalam di Masjid Umar bin Al-Khattab di Doha, beliau turut menggesa umat Islam dan kerajaan umat Islam untuk membantu rakyat Syria sambil berkata, jika beliau berkemampuan untuk berperang nescaya beliau akan turun untuk memerangi Hizbullah di Syria.

Beliau turut melabelkan secara jelas gerakan Hizbullah (yang bermaksud kumpulan Allah) sebagai "Hizbu Syaitan" (iaitu kumpulan Syaitan).

Syeikh Qardhawi kemudian mengutuk Hizbullah dan Iran yang melakukan operasi ketenteraan membunuh umat Islam Sunni. Tidak terkecuali menurut beliau ialah Perdana Menteri Iraq, Nuri Maliki (seorang Syiah dan sekular) yang turut membunuh pengikut Sunni di negara tersebut.

Beliau turut menempelak sesetengah pihak yang mempercayai "niat Syria bagi membebaskan Palestin" akan tetapi tidak pernah berlaku walaupun puluhan tahun lamanya.

"(Syria) tidak pernah melepaskan walau sebutir peluru ke atas Israel, sedang mereka mendakwa bahawa melakukan penentangan ke atas Zionis lantas mereka mentertawakan Arab dan orang Islam (akibat berita palsu ini)", ujar beliau.

Dr.Qardhawi turut mendedahkan bagaimana Basyar Asad meminta beliau untuk menyokongnya dan memperli Basyar.

"Apa itu Basyar dan apa itu Assad? Tidaklah dia melainkan seorang lelaki yang jahat, memusuhi rakyatnya sendiri semenjak hari pertama revolusi. Dia pernah meminta saya untuk menyokong pendirian rejimnya, dia menyatakannya melalui Ketua Biro Politik HAMAS saudara Khalid Mash'al akan tetapi Mash'al menolak maka tersungkur Mash'al di pandangan Asad yang zalim ini."

Beliau juga melabelkan Iran, Hizbullah dan Russia sebagai "musuh umat Islam" selain Parti Lubnan yang turut mengumumkan penyertaan mereka dalam peperangan di Syria.

Beliau menutup khutbah dengan berkata, "Saya menyeru seluruh umat Islam di semua tempat untuk membantu saudara mereka. Tidak masuk akal jika kita membiarkan mereka sedang ribuan sedang berusaha untuk membunuh mereka. Jika saya mempunyai kemampuan nescaya saya akan pergi memerangi bagi mempertahankan mereka (orang awam Syria). Sesiapa yang mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam berperang maka hendaklah menggunakannya untuk berperang di sana.

No comments:

Post a Comment