Wednesday, May 15, 2013

MEREKA DAH BERALIH ARAH


Tak kala PKR sibuk mengadakan perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di beberapa lokasi di seluruh negara, DAP Perak pula sedang giat mengatur program menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai perjuangan parti itu.

Terbaru DAP Perak menerima kemasukan seorang pensyarah perakaunan muda dari Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Chong Zhemin.
Chong yang berumur 28 tahun menyerahkan borang kemasukan ahli DAP kepada Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming di Ibu Pejabat DAP Perak di Medan Istana Ipoh hari ini.

Ketika ditanya pemberita kenapa memilih DAP, Chong berkata, dia beranggapan parti itu memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat, menentang rasuah dan perkauman.

Beliau yang telah menyertai dan berucap dalam 15 ceramah politik semasa berkempen membantu DAP pada PRU-13 lalu, menganggap keputusannya menyertai DAP sebagai hak kebebasan seorang rakyat untuk menyertai mana-mana parti politik di negara ini.

Katanya, meskipun beliau berkhidmat dengan sebuah pusat pengajian tinggi milik MCA namun ia tidak menjadi batu penghalang untuknya menyertai DAP.
Beliau yakin ramai lagi golongan muda termasuk pelajar UTAR bakal mengikuti jejaknya untuk menyertai DAP.

``Setakat ini antara 20 hingga 30 pelajar UTAR dan lebih 100 rakan saya dari luar universiti ini akan mengikut jejak saya untuk menyertai DAP,’’ katanya.
Sementara itu Nga Kor Ming berkata, dalam kempen parti itu untuk menarik seramai mungkin golongan muda menyertai parti, DAP Perak telah mengambil pendekatan untuk mengecualikan mereka dari dikenakan bayaran keahlian.

Menjawab soalan lain, Kor Ming menafikan dakwaan pemimpin-pemimpin DAP Perak memulaukan ceramah Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perhimpunan yang diadakan di Medan Istana pada Ahad lalu.

``Dakwaan itu tidak benar, kami dalam DAP sentiasa berdiri teguh di belakang Anwar Ibrahim,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment