Friday, May 31, 2013

DONG ZONG , INI BUKAN NEGERI CHINA

Dong Zong tidak wajar bangkitkan soal 'kecinaan' dalam isu menteri Kabinet
KUALA LUMPUR 30 Mei - Sikap ditunjukkan pertubuhan ekstremis, Dong Zong yang terlalu mengagung-agungkan sifat kecinaan adalah didorong oleh perasaan mereka yang masih beranggapan berada di Tanah Besar China.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, dalam masa sama, kumpulan tersebut tidak sanggup untuk kembali ke tanah asal kerana mengakui penghijrahan nenek moyang mereka dahulu ke tanah milik orang Melayu ini membawa kepada kehidupan yang jauh lebih terjamin.

Dalam hal ini katanya, Dong Zong tidak wajar membangkitkan soal 'kecinaan' berhubung pelantikan menteri Kabinet di negara ini.
"Tidak mahir berbahasa Mandarin bukanlah faktor utama yang menentukan ketokohan seseorang dalam kepimpinannya. Apatah lagi di Malaysia, bahasa yang menyatukan semua kaum adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Sekiranya menteri Cina itu tidak mahir berbahasa Mandarin, mereka boleh mempelajarinya dan ini bukan menjadi masalah besar," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai Dong Zong yang mempertikaikan pelantikan dua orang menteri berketurunan Cina dalam Kabinet yang tidak boleh berbahasa Mandarin sekali gus dianggap tidak layak mewakili kaum Cina.
Dua menteri yang dimaksudkan itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kwan dan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Mengulas lanjut kata Hasan, Dong Zong sebenarnya adalah rasis apabila memperjuangkan hak hanya untuk kaum Cina sahaja, baik dari segi pendidikan mahupun budaya kaum itu.

"Apa yang akan berlaku apabila orang Melayu hanya memperjuangkan pendidikan, budaya dan kesemuanya berkaitan kaumnya sahaja dan kaum lain juga berbuat sedemikian.

"Tentunya jurang polarisasi kaum di negara ini akan menjadi lebih parah, maka tindakan Dong Zong perlu berpaksikan kepada perpaduan di antara kaum sebenarnya tanpa menebalkan sikap perkauman dalam diri kaum Cina," ujarnya.