Wednesday, May 22, 2013

AIR ASIA TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN


Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dikecam berikutan mutu perkhidmatan yang mengecewakan serta sikap sambil lewa khususnya dalam memberi penjelasan dan pertolongan kepada penumpang yang berdepan masalah.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kelemahan AirAsia itu bukan sesuatu yang asing kerana sebelum ini pelbagai aduan serta rungutan berhubung perkhidmatan 'tidak serupa bikin' syarikat penerbangan itu dibuat penumpang.

Menurut beliau, AirAsia tidak boleh melepaskan diri dengan alasan mengikut piawaian kesihatan global kerana syarikat itu juga terikat dengan tanggungjawab sosial korporat.

"Walau apa jua masalah yang dihadapi penumpang, AirAsia sepatutnya selesaikan terlebih dahulu apatah lagi insiden tersebut berlaku di luar negara yang sememangnya asing kepada rakyat negara kita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden malang yang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan bayinya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, yang dilarang kakitangan AirAsia menaiki pesawat AK 1455 di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam, Sabtu lalu.

Walau bagaimanapun, AirAsia dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam memberi penjelasan berbeza selepas mendakwa larangan yang dikeluarkan pihaknya itu selepas disahkan doktor lapangan terbang bertugas yang mengisytiharkan Maryam Sofea tidak sihat.

Sementara itu, Aktivis Pengguna Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah memberitahu, pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung pelbagai perkhidmatan AirAsia termasuk caj berat barangan yang disifatkan terlampau tinggi dan tidak munasabah.

"Sehubungan itu, pengguna perlu bertindak memboikot syarikat seperti ini yang terlalu mengejar keuntungan sehingga lupa unsur-unsur kemanusiaan serta sikap belas kasihan," katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kerajaan mengkaji operasi AirAsia dan mengembalikan sepenuhnya perkhidmatan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Firefly yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) sekiranya syarikat tambang murah itu tidak mahu bertanggungjawab dengan pelbagai aduan penumpang.

No comments:

Post a Comment