Wednesday, May 22, 2013

PEKARA 3 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


CATATAN:
Per. 2: Lihat Per. 22, 113(3), 159(4)(bb).
Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

 (2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.


(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.
CATATAN:
Per. 3(2):
Perkataan "Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja" dalam baris satu dan dua menggantikan "Melaka dan Pulau Pinang" menurut Akta 26/1963, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 16-09-1963. Per. 3(3):
Perkataan "Negeri-Negeri Melaka dan Pulau Pinang" digantikan dengan "Negeri Melaka , Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 3, berkuat kuasa dari 27-08-1976. 1. Akta 261/1963, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 16-09-1963, menggantikan "dan Pulau Pinang" dengan "Pulau Pinang dan Singapura". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 09-08-1965, memasukkan semula versi asal "Pulau Pinang".
2. Lihat Per. 5 Perlembagaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang.
Per. 3(5):
1. Ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 01-02-1974.
2. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16-04-1984.
3. Perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 12, berkuat kuasa dari 01-02-2001.