Friday, April 12, 2013

MAJLIS FATWA PERLU BERTINDAK


Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pelbagai kenyataan beliau kebelakangan ini yang boleh mengelirukan umat Islam.


Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh berdiam diri dan membiarkan Nik Abdul Aziz mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
"Perkara ini bukan hanya perlu disiasat tetapi harus diambil tindakan tegas kerana kenyataan itu dilihat boleh memecah-belahkan umat Islam," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.


Semalam, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang antaranya mendakwa solat orang UMNO tidak mendapat pahala terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau menegaskan, apa yang dinyatakan Mursyidul Am Pas itu tiada dalam ajaran Islam dan menasihatkan orang ramai terutama umat Islam tidak berpegang kepada pandangan tersebut.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Nik Abdul Aziz kebelakangan ini seperti dakwaan solat orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapatkan kontrak.


Sementara itu, Pengerusi Gerakan Tukar (Tukar), Kamarudin Mohd. Kasim menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat setiap dakwaan Nik Abdul Aziz yang dilihat dibuat kerana dendam dan bermotifkan politik.

"Kita juga meminta Nik Abdul Aziz tidak terus menggunakan landasan agama untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan akidah umat Islam," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim melahirkan rasa kesal dengan dakwaan Nik Abdul Aziz tersebut kerana menjadi contoh tidak baik kepada umat Islam apatah lagi Menteri Besar Kelantan itu membawa imej dan perwatakan Islamik.

"Pihak berkenaan harus mengambil tindakan kerana perkara ini merupakan sesuatu yang amat malang bagi umat Islam sekali gus boleh memecahbelahkan umat," katanya.


No comments:

Post a Comment