Pembangkang hanya guna isu gangguan air di sekitar Kuantan untuk menipu rakyat kononnya masalah itu berpunca daripada ketidakcekapan kerajaan negeri.
Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, pemimpin pembangkang tidak faham permasalahan sebenar isu itu sebaliknya mengambil kesempatan menangguk di air keruh demi kepentingan politik terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurutnya, kenyataan penyandang kerusi parlimen Kuantan, Fuziah Salleh adalah satu pembohongan apabila sengaja memperbesarkan isu itu tanpa memahami hal-hal teknikal yang berlaku di Rumah Pam Kobat.
“Sebenarnya, masalah itu disebabkan isu teknikal termasuk kerosakan pam dan bukan berpunca daripada ketidakcekapan kerajaan mahupun Pengurusan Air Pahang (Paip).
“Kini segala masalah itu berjaya diselesaikan apabila rumah pam baru yang menempatkan tiga pam (baru) sudah siap dan mula beroperasi sejak 10 April lalu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke rumah pam itu dekat sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM42 juga untuk membina rumah pam dan pam baru bagi meningkatkan keupayaan tujuh pam sedia ada yang berusia lebih 20 tahun.
“Malah kerajaan merangka plan jangka panjang sehingga 2050 supaya bekalan air di sini sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
Wan Adnan berkata, pembangkang mungkin juga cuba mengalihkan masalah air di Selangor dengan memperbesarkan isu air yang berlaku di sini.
No comments:
Post a Comment