Sunday, March 31, 2013

Hussein mangsa perbalahan Fatah-Hamas


GAZA 30 Mac - Perumpamaan Melayu ada menyebut: "Apabila gajah bertempur, kancil mati di tengah-tengah."
Itulah yang berlaku kepada Hussein Arafat al-Ghali yang berusia 16 tahun.
Remaja berkenaan kehilangan mata kanannya pada usia sembilan tahun akibat terkena serpihan peluru pertempuran antara askar penyokong Hamas dan tentera penyokong Fatah pada 1998.
Fatah dan Hamas merupakan dua kumpulan politik yang masih bersengketa dan dilihat gagal bersatu memperjuangkan kedaulatan serta kemerdekaan bumi suci Palestin.
Hussein Arafat kini menggunakan mata kaca dan nampak reda dengan apa yang berlaku ke atas dirinya semasa rombongan media dari Malaysia menemui beliau dan ibu serta ahli-ahli keluarganya yang lain di sini semalam.
Menceritakan kehidupannya, ibu Hussein Arafat, Najah Abu al-Ghali berkata, beliau bergantung kepada bantuan badan-badan NGO termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyara tujuh orang anak selepas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menyewa sebuah rumah di daerah Khanyounis dekat sini, beliau menerima bantuan sebanyak 500 shekel (RM425) daripada PBB untuk tinggal di daerah yang menempatkan lebih 25,000 pelarian Palestin, selepas rejim Zionis Israel merampas tanah harta pusaka keluarga mereka pada 1948.
Selain keluarganya, rumah yang didiami beliau turut dijadikan tempat perlindungan oleh dua keluarga pelarian yang lain, kata Najah, yang hidup kais pagi makan pagi.
Bagi Samiah al-Astal, 32, kehidupan beliau tidak jauh berbeza daripada Najah. Samiah yang menjadi ibu tunggal, menyara kehidupan lima orang anak.
"Saya juga menerima 500 shekel (RM425) bagi menyewa rumah ini, tetapi saya memerlukan kira-kira 1,500 shekel (RM849) bagi menanggung kos kehidupan diri saya dan anak-anak," jelasnya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Kedua-dua ibu tunggal tersebut menerima bantuan kewangan daripada Ketua Misi Kemanusiaan Gaza anjuran Aman Palestin Berhad, Anas Abdul Wahab yang mengetuai kumpulan pakar perubatan pertama dari Malaysia dihantar ke wilayah Palestin ini.
Aman Palestin, kata Anas, mempunyai pelbagai program membantu anak-anak yatim dan keluarga miskin yang dikawal selia oleh pejabat cawangannya di sini agar lebih lancar dan berkesan. - MINGGUAN


No comments:

Post a Comment