Monday, March 18, 2013

Analisis Penuh Manifesto 'Karut' Pakatan Pembangkang


BERIKUT ADALAH ANALISIS PENUH MANIFESTO PAKATAN PEMBANGKANG. UNTUK MEMUDAHKAN ANDA FAHAM, DIHARAP BERSAMA ANDA ADALAH SALINAN MANIFESTO TERSEBUT. TERIMA KASIH.


1. Dengan keadaan rakyat Malaysia tekun mengikuti Krisis Lahad Datu, isu Manifesto Pakatan Rakyat yang baharu itu semacam disenyapkan.

2. Banyak tanda soal yang bermain di fikiran rakyat tentang realistikkah Manifesto itu seakan terhenti seketika.

3. Pihak Pakatan Pembangkang beserta media mereka yang sentiasa bersumpah setia bersama agenda Pakatan Pembangkang langsung tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi berkenaan Manifesto mereka.

4. Mereka cuma menumpukan kepada Krisis Lahad Datu dan bagaimana untuk spin tiap daripada maklumat yang mereka terima ke arah kepentingan politikal mereka sahaja tanpa mengira semangat patriotisma dan juga sensitiviti umum.

5. Mari kita buka kembali dokumen Manifesto Pakatan Pembangkang ini dan kita lihat samada benar-benarkah mereka mampu melakukan sedemikian ataupun ia cuma akan menjadi seperti Manifesto 2008 yang sampi ke hari ini masih banyak lagi belum ditunaikan.

6. Namun begitu, TS Khalid Ibrahim menggunakan pemahaman beliau mengulas bahawa Manifesto adalah bukannya janji. Saya simpulkan yang TS Khalid telah memperbodohkan rakyat Selangor termasuk juga diri beliau sendiri.

7. Perlu ingat, dokumen manifesto Pakatan ini adalah JANJI mereka untuk tempoh 5 tahun sekiranya berjaya memerintah samada negara ataupun negeri.

8. Jangan jadi seperti TS Khalid Ibrahim yang ingin mengambil kesempatan ke atas wira negara yang terkorban dengan menjanjikan satu dana RM 10 juta tetapi masih lagi belum melunaskan janji beliau kepada ibu-ibu tunggal seluruh negeri Selangor termasuk juga balu-balu tentera.

Manifesto Retorik.

1. Secara ringkasnya, Manifesto ini memaparkan 4 teras utama iaitu:

  • RAKYAT BESAUDARA
  • EKONOMI RAKYAT
  • KESEJAHTERAAN RAKYAT
  • KERAJAAN RAKYAT
2. Kesemua teras mereka ini menggunakan perkataan 'rakyat'. Yang merupakan salah satu ciri utama sebuah  pemahaman Marxism yang cenderung ke arah Sosialis dan juga Komunis seperti mana yang negara China gunakan People's Republic of China.

3. Dan dilihat semula bahawa pembawaannya pula adalah tidak lari dengan apa yang Barisan Nasional selama ini janjikan dan juga telahpun dilunaskan kecuali dalam beberapa isi kandung yang tidak berapa munasabah.

Rakyat Bersaudara.

1. Sasaran pertama segmen ini adalah kepada kaum Wanita dengan menggunakan ayat "Mengiktiraf Sumbangan Wanita."

2. Bukankah ini juga telah disebut oleh DS Najib Razak semasa beliau membentangkan Bajet 2013 yang menyebut tentang Program Pengarah Wanita, Program Inkubator Usahawan Ibu Tunggal dan banyak lagi yang boleh dirujuk di http://ummikusayang-learning-centre.blogspot.com/2012/09/intipati-bajet-2013-untuk-usahawan.html

3. Janji terbaharu Pakatan Pembangkang ini adalah "Caruman Wanita Malaysia" yang menyediakan satu sistem yang tidak munasabah dan sukar untuk dilaksanakan. Idea ini adalah mewajibkan suami untuk masukkan sejumlah wang (RM10-RM100) ke dalam satu tabung caruman seolah-olah KWSP yang hanya boleh dikeluarkan jika cukup tempoh atau kes-kes tertentu

4. yang menjadi persoalan di sini adalah lagi janji mereka untuk menambah RM50 sebulan bagi setiap isteri dan ini akan diuruskan oleh SOCSO.

5. Kelemahan di sini adalah tidak adapun satu unjuran kewangan tentang berapakah isteri yang ada di Malaysia, berapakah peruntukan yang disediakan, bagaimanakah untuk menilai perempuan yang bergelar janda, isteri yang menanggung suami. dan katakanlah 20% penduduk Malaysia bergelar taraf isteri, ini telah membawa kepada unjuran 5.8 juta orang isteri. Dengan RM50 setiap bulan, kerajaan Pakatan ini akan membelanjakan RM 3.84 Billion setahun.

6. Bukankah ini akan mengakibatkan para wanita akan lebih bergantung dan mengurangkan produktiviti mereka untuk memajukan negara.

7. Seterusnya, Manifesto yang menjadi semakin karut ini mensasarkan kumpulan warga emas pula. Dilihat di sini janji Pakatan Pembangkang adalah untuk memberikan RM1000 setahun kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

8. Jumlah warga emas adalah dalam anggaran 2.2 juta orang. Maka setahun, kerajaan Pakatan akan membelanjakan RM 2.2 Billion.

9. Langkah yang diambil oleh DS Najib Razak pula turut menjaga kebajikan warga emas ini dengan lebih efisyen dan produktif dengan memberikan diskaun perkhidmatan, rawatan kesihatan percuma, menaikkan pencen, menyediakan banyak lagi kemudahan untuk warga emas.

10. Seterusnya Manifesto Karut ini menyentuh tentang Bahasa Kebangsaan hendak dimartabatkan, Bahasa Ibunda dijamin dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan dan sistem pendidikan negara yang menjamin pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia.

11. Argumennya di sini adalah, ini adalah sesuatu yang Kerajaan Barisan Nasional telah laksanakan selama ini. Apabila diperkenalkan PPSMI, yang paling lantang menentang dahulu adalah Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang kononnya membela Bahasa Kebangsaan walhal mereka tidak mahu anak Melayu menerima pengajaran percuma Bahasa Inggeris kerana kaum lain terutamanya kaum Cina mempunyai kewangan yang kukuh untuk menghantar anak mereka sejak dari kecil lagi ke institusi pra-sekolah yang mahal seperti Kumon, Child Enrichment Centre dan sebagainya

12. Jangan lupa pula bahawa kebanyakan ahli pemimpin pembangkang terutamanya dari DAP tidak fasih berbahasa kebangsaan.

13. Kemudian, lagi janji mereka adalah untuk mengiktiraf peranan sekolah janaan rakyat yang selama inipun telah dibantu oleh Kerajaan Barisan Nasional.

14. Disentuh pula segmen seterusnya adalah mengenai menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak dan ini pula dipecahkan kepada 7 pokok utama:

  • Kerjasama Bersekutu - Yang memberikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak seolah-olah mahu memecahkan kesepaduan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak yang selama ini Kerajaan Barisan Nasional inginkan jurang itu dikecilkan.
  • Perwakilan yang Adil - Sesuatu yang selama ini Kerajaan Barisan Nasional telapun laksanakan dengan mengemukakan calon tempatan.
  • Kewarganegaraan - Juga sesuatu yang Kerajaan Barisan Nasional telahpun jalankan namun disensasikan oleh Pembangkang dengan isu RCI.
  • Pengiktirafan hak ke atas Tanah Adat - Juga telah dilaksanakano leh Kerajaan Barisan Nasional
  • Kecekapan dan kemandirian Sarawak dan Sabah - Juga amalan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional
  • Keadilan dalam Isu Minyak - menaikkan royalti kepada 20%. Akan memberikan implikasi kepada pendapatan negara seperti yang selama ini telahpun diterangkan. (Akan diulas kemudian)
  • Pembangunan sekata - Juga telah dijalankan oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini
15. Seterusnya pula adalah Hak Tanah dan Kebajikan Orang Asli:

  • 141,000 hektar tanah dipulangkan - Bila masanya tanah ini dirampas tanpa pampasan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika adapun itu adalah tanah yang Kerajaan PAS Kelantan berikan kepada pengusaha-pengusaha Ladang Rakyat dan juga kepada Nga Kor ming dan Ngeh Koo Ham.
  • Bekalan air dan elektrik - Juga tidak pernah Kerajaan Barisan Nasional gagal berikan kecuali Kerajaan PAS Kelantan yang masih gagal memberikan bekalan air bersih kepada rakyatnya.
  • 5,000 biasiswa pendidikan - juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional mengikut kuota. Dan bukankah juga DAP yang inginkan sangat-sangat kuota ini dihapuskan dan diganti dengan sistem meritokrasi.
16. Elemen seterusnya yang diketengahkan oleh Manifesto Karut ini pula adalah "Menghayati Kedudukan Islam Sebagai Agama Persekutuan, menjamin Hak Kebebaan Beragama". Kenyataan paling retorik pernah Manifesto ini kemukakan. Langsung tidak sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang mengamalkan pluralisma agama.

17. Isu Kalimah Allah, azan mahu diperlahankan, mengalih bahasa Injil ke dalam Bahasa Melayu dan pelbagai lagi malapetaka yang mereka sendiri undang sejak tahun 2008 lagi. Perlu lagikah kita untuk percaya Manifesto ini?

18. Jika dilihatpun, Kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO yang benar-benar mahu menegakkan perkara ini sejajar dengan peruntukan perlembagaan Perkara 3: Ugama Islam Sebagai Ugama Persekutuan tetapi ugama lain boleh diamalkan secara aman dan damai.

19. Seterunya Manifesto ini menyatakan mahu 'Menagangkat Budaya Sebagai teras Positif Hidup Bermasyarakat." Dengan menyatakan sesuatu yang diamalakan oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini jelas menunjukkan bahawa mereka sudah kehabisan modal untuk diketengahkan. Malah tidak seiring dengan kelakuan meraka yang racist dan tidak pernah menghormati kedudukan Istimewa Bangsa Melayu dan seringkali menimbulkan kontroversi sesama kaum.

20. Dan yang terakhr dalam episod ini adalah 20% Royalti Minyak - Angan-angan yang sampai bilapun mereka tidak akan mampu laksanakan. (Rujuk Buku Penjelasan Isu Tuntutan Hasil Petroleum)

Ekonomi Rakyat

1. Teras ini pula dipecahkan kepada 6 isi penting iaitu:

  • 1 Juta Pekerjaan baru
  • Gaji Minima Yang Patut
  • Teksi Pemilik Pemandu
  • Menjamin ekonomi Perajurit
  • Hapus Monopoli, meningkatkan ekonomi pasaran
  • Meningkat Inovasi, R&D dan teknologi
2. Di dalam pembukaan teras ini, dimuatkan dengan propaganda dan hasutan yang lazim menjadi modal Pakatan Pembangkang ini.

3. Dengan mengatakan bahawa kononnya menjelang tahun 2020, golongan miskin di Malaysia bakal mencecah 8 juta orang walhal mengikut laporan tahap kemiskinan negara berada pada sekitar 3.8% iaitu 1.1 juta orang dan telah pun menurun dari tahun-tahun sebelumnya. Mana mungkin kadar ini akan meningkat sekiranya  Kerajaan Barisan Nasional meneruskan usaha yang sedang dilaksanakan ketika ini.

4. Isu kroni juga disebut sebagai satu lagi manipulasi fakta yang sering Pembangkang nyatakan selama ini. Pada masa yang sama, mereka jugalah yang mengamalkannya seperti mana isu Talam, isu PKNS, isu Yayasan Selangor malah isu pembelian tanah Kelantan oleh Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham juga adalah perbuatan kronisma.

5. 1 Juta Peluang Pekerjaan Baru Untuk Rakyat - Langkah yang diambil amat mencurigakan kerana rahsia bagaimana pekerjaan baru ini dicipta adalah dengan mengurangkan 1 juta buruh asing. Permasalahan utama yang mengundang buruh asing ke negara kita ini adalah kerana terdapat pekerjaan yang rakyat malaysia sendiri tidak mahu lakukan kerana taraf hidup sudah semakin tinggi. Memang benar kehadiran buruh asing ini sedikit sebanyak menutup peluang tetapi apa yang Pakatan harus nyatakan adalah seperti mana yang Kerajaan Barisan Nasional lakukan iaitu menyediakan lebih banyak peluang latihan agar rakyat Malaysia dapat menjadi tenaga mahir dan memenuhi kehendak pasaran tenaga mahir.

6. Perkongsian Produktiviti yang Adil melalui Gaji Minima - Malangnya pengenalan gaji minima ini sama sekali tidak akan membantu masyarakat kerana faktor market equilibirium. Market Equilibirium merujuk kepada keadaan apabila anda memberikan gaji lebih kepada satu kelompok masyarakat yang besar, maka harga barangan akan turut meningkat.

6a. Ambil contoh tentang satu-satu perniagaan, terdapat buruh kasar yang menerima RM 850 sebulan, apabila gajinya dinaikkan kepada RM1,100 sebulan maka kos untuk perniagaan tersebut akan meningkat dan majikan terpaksa menaikkan harga barangan tersebut untuk menutup kos yang bertambah itu.

6b. Dengan kefahaman ini adakah masalah akan sama sekali selesai? Maka, seperti mana yang Kerajaan Barisan Nasional lakukan, dengan mengurangkan kadar inflasi maka nilai atas tangan rakyat itu walaupun sedikit tetapi nilainya besar. Apa guna jikalau di atas tangan anda ada RM 1,100 sekalipun tetapi perbelanjaan anda meningkat juga kepada RM1,100. Lebih baik anda ada RM 850 tetapi perbelanjaan anda hanya RM 600 sahaja.

7. 1 juta tenaga kemahiran terlatih dari kalangan lepasan sekolah - Ini adalah seperti mana yang selama ini Kerajaan Barisan Nasional lakukan dengan adanya IKBM, Giat Mara, dan pelbagai lagi tawaran latihan lain. Malah amat lucu sekali apabila Pakatan mencadangkan pembinaan 5 Universiti Teknikal, dan 25 sekolah vokasional sedangkan pada masa yang sama Kerajaan Barisan Nasional dalam tempoh 10 tahun sahaja telah membina sebanyak 12 Universiti baru, tidak termasuk kampus-kampus cawangan dan berpuluh-puluh lagi sekolah vokasional yang sejajar dengan permintaan.

8. Reformasi Pendidikan Merangsang Ekonomi - Pakatan Rakyat yang dikepalai DS Anwar Ibrahim ini gemar dengan perkataan reformasi. Malangnya reformasi beliau ini adalah untuk menghapuskan sistem yang selama ini telah memberikan negara para doktor, peguam, ahli perniagaan dan ramai lagi rakyat malaysia yang bukan sahaja terkenal di dalam negara malah dihormati di peringkat antarabangsa. Semuanya asalah hasil daripada sistem persekolahan yang dijaga dan ditambah baik oleh Kerajaan Barisan Nasional.

9. Membudayakan perkongsian bijak kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan - tidak banyak yang diceritakan oleh Manifesto ini tentang bagaimana hendak dilakukan elemen ini.

10. IKS dan Inovasi Teras Ekonomi Negara - Tidak banyak dapat digarap daripada maklumat yang manifesto ini sampaikan cuma merujuk kepada Tabung Inovasi Kebangsaan sebanyak RM 500 juta, menggalakan institusi kewangan memberi pembiayaan dan insentif percukaian dengan tumpuan kepada IKS dan bukannya industri besar.

11. Tetapi setelah dikaji, didapati bahawa Kerajaan Barisan Nasional melalui RMK-10 telah mengadakan sejak tahun 2010 lagi Dasar Inovasi Negara yang telahpun membekalkan peruntukan sebanyak RM 5 Billion, 10 kali ganda dengan apa yang Pakatan Pembangkang hendak bekalkan. Fokus kepada IKS pula termasuk dengan pembiayaan serta insentif percukaian juga telah lama dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional malah bukan sahaja insentif percukaian diberikan, bagi perniagaan di bawah RM 100,000 setahun juga berikan lepasan cukai.

12 Pelarasan Percukaian Rakyat Demi Kesaksamaan - Ini adalah satu lagi retorik yang Pakatan Rakyat tidak akan lakukan iaitu dengan meningkatkan kadar wajib bayar cukai kepada RM 400,000. Satu pembohongan jelas yang dinyatakan di dalam hal ini adalah kadar 26% yang dinyatakan adalah terpakai untuk jalur pendapatan RM100,00 ke atas sebulan! Mereka yang menerima gaji RM 2,500 sebulan dikecualikan daripada cukai. Rakyat Malaysia harap tidak tertipu dengan sebutan angka Manifesto ini yang mengelirukan.


13. Malah apa yang diumumkan oleh DS Najib semasa bajet 2013 telah menurunkan 1% kadar cukai kepada setiap tangga cukai. Maka mereka yang menerima RM 5000 sebulan langsung tidak perlu membayar cukai pendapatan.

13. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor langsung tidak sejajar dengan janji ini. Apanya tidak, apabila dijanjikan cukai pintu tidak dinaikkan, tiba-tiba sahaja dinaikkan kepada 10 kali ganda!

14. Ekonomi Lestari - Tidak tahu mengapa, tetapi operasi Lynas akan dihentikan diletakkan di dalam elemen ini. Juga yang menarik perhatian adalah Pakatan pembangkang berjanji untuk mereformasi semua undang-undanga sedia ada berkait dengan pembalakan dan kawal selia aktiviti pembalakan. Ingin saya bertanya kepada mereka yang menulis Manifesto ini tentang samada mereka sedar atau tidak apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan di bawah pentadbiran Pakatan Pembangkang ini.

15. Semakin lucu jadinya Manifesto ini!

16. Membela ekonomi dan kebajikan perajurit - RM 500 juta akan diperuntukkan kepada Tabung Usahawan Kecil Perajurit.  Barangkali yang merangka Manifesto ini berkurung di dalam bilik bersendirian selama 30 tahun agaknya ataupun mungkin juga bukan orang Malaysia yang buat. Kerana Kerajaan barisan Nasional telahpun sediakan bantuan ini sejak 30 tahun yang lampau lagi menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang sedia membantu bekas tentera kita untuk pelbagai perkara.

17. Lagi mengelirukan kerana Pakatan Pembangkang berjanji untuk menaikkan caruman daripada 15% kepada 20% tetapi 5% daripada kenaikkan itu perlu pula diletakkan di dalam tabung khas.

18. Dinyatakan lagi bahawa Pakatan Pembangkang ini akan menyediakan sejumlah RM 400 Juta setahun untuk bekas tentera tidak berpencen dengan setiap daripada mereka dijanjikan RM 2000 setahun. Malangnya setelah dikira semula, RM 400 juta itu hanya mampu membayar 200,000 orang sahaja manakala jumlah bekas tentera tidak berpencen adalah 224,000 orang. Ke mana perginya kebajikan untuk  24,000 lagi bekas tentera yang lain?!

19. Keliru, keliru.

20. Memberdayakan Usahawan Teksi - janji Manifesto ini adalah untuk menghapuskan sistem permit teksi kepada syarikat tertentu dan permit akan diberikan terus kepada pemandu teksi. Ini juga satu lagi retorik sahaja daripada Pakatan Pembangkang untuk meraih undi pemandu teksi yang secara tidak langsungnya akan menjadi agen mereka secara percuma.

21. Mengenai permit teksi ini anda perlu faham akan statistik terlebih dahulu. terdapat 79,571 permit telah dikeluarkan diseluruh negara dan hanya 48% sahaja dipegang oleh 1,303 buah  syarikat teksi dengan purata satu syarikat memegang 30 buah permit sahaja. Manakala pemandu teksi yang memegang permit sendiri adalah 41,376 orang. Dan kesemua syarikat ini mendapatkan permit mengikut undang-undang. Penjelasan lebih lanjut boleh didapati di http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/permit-teksi-syarikat-diberi-mengikut-undang-undang-kata-ahmad-maslan

22. Pelaburan R&D mencecah 5% dari KDNK - tedapat 4 langkah manifesto ini telah sediakan dan kesemuanya telahpun dilaksanakan di negara ini sejak dahulu lagi. Jika dibandingkan dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional, KDNK negara adalah RM 765.965 Billion dan 5% daripada kadar tersebut adalah RM 38 Billion. Pelaburan R&D yang dicatatkan ketika ini adalah RM 56.1 Billion ataupun 7%. Sekali lagi saya terfikir samada mereka ini benar-benar buat kajian ataupun tidak sebenarnya sebelum mengeluarkan Manifesto ini.

23. Sistem pengangkutan awam dalam bandar - Menjanjikan pengangkutan awam kepada golongan berbeza upaya. Merombak sepenuhnya dari berlandaskan MRT kepada pelan bersepadu melibatkan MRT dan bas, menilai semula kontrak MRT dan Pelaburan RM 2 Billion pada tahun pertama untuk bilangan bas dan sistem lalun bas sehingga meningkat sekali ganda.

24. Bagaimana ini hendak dilakukan saya juga tidak pasti. Apa tidaknya, ini tersangat kontra dengan janji Pakatan Pembangkang yang akan saya huraikan sebentar lagi tentang penurunan harga kereta dan juga harga minyak yang bakal menggalakkan rakyat membeli dan membawa sendiri kereta mereka lalu melemaskan sistem pengangkutan awam.

25. Dengan keadaan Lembah Klang yang sarat dengan pembinaan MRT, mahu pula mereka mengkaji semula kontrak tersebut. Bakal menyebabkan projek ini lambat siap atas dasar mahu berikan kontrak ini kepada kroni mereka. Dan juga sistem bersepadu antara Bas dan MRT telah pun dilaksanakan oleh sistem RAPID KL yang menghubungkan antara stesen-stesen MRT dan LRT. 

26 . Disamping itu juga, Manifesto ini menjanjikan sistem keretapi laju antara bandar yang kiranya ini hasil buah fikiran Husam Musa yang tidak masuk akal!

27. Memecahkan Monopoli Merancakkan Persaingan - Ini pula seharusnya dilihat sebagai agenda peribadi mereka menentang TS Syed Mokhtar Bukhari yang mengikut dakwaan mereka memonopoli segala-galanya di negara ini.

28. Untuk memecahkan monopoli Manifesto ini merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Anti-Monopoli, menubuhkan Suruhanjaya Kontrak Awam (Anti DEB/MEB yang membela Melayu) dan merombak perjanjian IPP. Malangnya, ini adalah satu lagi retorik daripada Pakatan Pembangkang ini. Perjanjian sekecil menyediakan bantal dan tilam di KUIS pun tidak mampu untuk mereka rombak serta menyalahkan Kerajaan  Barisan Nasional kerana mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah ada perjanjian terdahulu.

29. Syarikat TS Mokhtar juga menyediakan produk yang harganya dikawal oleh kerajaan seperti tepung dan beras. Mana mungkin argumen Pakatan mengtakan harga dinaikkan sesuka hati oleh syarikat monopoli ini? Malahan dalam satu temubual tertutup TS Mokhtar mengaku bahawa Gardenia dan juga Proton bukanlah satu pengambilalihan yang strategik dari segi kewangan, tetapi ini sebagai jihad beliau untuk orang Melayu beragama Islam (Baca di sini)

30. Untuk merancakkan persaingan pula, Manifesto ini berhasrat untuk membubarkan 1MDB dan menyerahkan kembali kepada Khazanah sebagai satu-satunya badan pelaburan negara. (Anti Monopoli?)

31. Kemudian berhasrat untuk melupuskan pegangan kerajaan dalam GLC. PETRONAS bakal menjadi penswastaan penuh, dan ini akan mendedahkan PETRONAS kepada pembelian secara umum termasuk syarikat luar negara. Ini akan mengakibatkan PETRONAS tidak lagi menjadi milik Malaysia. Equinas akan dirombak untuk membantu merancakkan pengambil alihan GLC oleh pengurusan dan usahawan yang layak.

32. Dan yang terakhir Manifesto ini berjanji untuk memastikan perolehan secara tender terbuka secara menyeluruh. Maksudnya jika anda layak anda akan dapat. Kontraktor kelas F dengan projek bernilai RM 100,000 ke bawah kini terpaksa bersaing dengan syarikat kelas A yang bermodalkan puluhan juta ringgit. Siapa mendominasi kelas F? Tentunya Melayu dan Bumiputera. Dan apa yang berlaku di Pulau Pinang akan berlaku ke seluruh negara. Tiada lagi kontraktor Melayu dan Bumiputera.

Kesejahteraan Rakyat.

1. Gemar dengan membina persepsi dan sudut pandang negatif, Pakatan Pembangkang melalui teras ini menyatakan bahawa rakyat telah dizalimi dan hak rakyat dirampas oleh Kerajaan Barisan Nasional. Janji-janji yang tidak munasabah dan lebih dilihat sebagai pendekatan populis ini telah boleh membuatkan rakyat menjadi semakin materialistik dan tidak pernah puas dengan apa yang ada.

2. Teras ini telah diterangkan kaedahnya melalui 6 langkah iaitu:


  • Mengurangkan kos sara hidup rakyat
  • Merombak Dasar Automotif Negara
  • Perumahan selesa dan mampu milik
  • Pendidikan percuma, Hapus PTPTN
  • Hapus AES, Batal saman AES
  • Keadilan untuk warga FELDA
3. Untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, Manifesto ini berjanji untuk melakukan 5 perkara yang dimulakan dengan Harga Minyak Turun.

4. Tetapi tidak dinyatakan di sini berapa sen kah harga tersebut bakal diturunkan. Penurunan 1 sen juga dikira menurunkan juga. Dan tidak juga dinyatakan bahawa berapakah jumlah subsidi baru yang diperuntukkan untuk penurunan harga minyak ini.

4a. Rakyat perlu ingat bahawa apabila kerajaan memberi subsidi 10 sen, jumlah yang perlu ditanggung oleh kerajaan akan meningkat mengikut juta liter minyak yang terjual. sekiranya 100 juta minyak terjual maka 10 jutalah peningkatan perbelanjaan kerajaan.

4b. Tetapi apabila rakyat sendiri menanggung 10 sen, tetap berkadar kepada 10 sen sahaja setiap liter bagi seorang. hakikat ini jarang disedari oleh kebanyakan rakyat. Perlu diingatkan juga, DS Anwar Ibrahim mengatakan yang Malaysia ini adalah sebahagian daripada OPEC iaitu persatuan negara pengeluar minyak. Tetapi hakikatnya, Malaysia tidak layak pun untuk memasuki persatuan tersebut kerana tidak cukup kuota minyak yang dihasilkan.

4c. Malah, PETRONAS yang bertanggung jawab sebagai agensi yang menguruskan hasil petroleum Malaysia menyumbangkan hampir 40% cukai pendapatan negara yang hasilnya akan dimanfaatkan kepada seluruh lapisan masyarakat.

4d. Dengan adanya pemberian BR1M, rakyat sendiripun memilih sendiri barangan apakah yang ingin mereka subsidikan. Sekiranya duit BR1M itu dibelanjakan untuk pakaian, sebenarnya itulah subsidi kerajaan untuk pakaian. Dan jika untuk mengisi minyak kereta maka itulah subsidi untuk minyak kereta. Pilihan subsidi ini terletak pada tangan rakyat.

5. Caj Elektrik Lebih Rendah - IPP merupakan sasaran utama Pakatan pembangkang sejak sekian lama. Dengan syarikat yang mereka dakwa sebagai kroni Kerajaan Barisan Nasional, pelbagai tuduhan tidak berasas sering dilakukan.

5a. Dalam kes ini Manifesto menyebut RM 25 billion yang kerajaan perlu bayar kepada IPP. Maka dengan tidak perlu bayar wang tersebut kepada IPP, RM 25 billion itu boleh digunakan untuk mengurangkan caj elektrik rakyat. 

5b. Satu kenyataan yang sangat dangkal. Apa tidaknya, apabila perjanjian dengan IPP tersebut dibatalkan, maka negara akan kekurangan tenaga elektrik. Stesen janakuasa baru perlu dibina, kos untuk setiap stesen janakuasa tersebut perlu kerajaan tanggung, begitu juga dengan bayaran-bayaran lain yang perlu kerajaan tanggung. Maka RM25 billion tersebut tidak akan sampai kepada rakyat, malah untuk membiayai stesen janakuasa yang baru tersebut termasuk dengan kos pengendalian, operasi dan sebagainya. Maka pada akhirnya, kos akan lebih meningkat dan dari membayar RM 25 billion kepada IPP, maka pada akhnirnya mungkin perlu membelanjakan RM30 billion setahun.

6. Caj air lebih rendah - Air percuma? Oh, tidak. Hanya caj yang lebih rendah sahaja. Bercanggah dengan janji pada tahun 2008 yang kononnya slogan mereka "Memulangkan Hak Air Kepada Rakyat". Dan hasilnya, bekalan air di Kelantan tidak bersih dan Selangor pula menghadapi krisis air. Tidak wujudpun pada hakikatnya konsep air percuma kerana kerajaan masih perlu menanggung kos air tersebut. Lebihan ringgit atas tangan kepada rakyat tetapi keperluan asas tidak dapat dipenuhi.

7. Hapus Tol - Dengan mengambil kira konsep yang sama seperti kes IPP di atas tadi, kononnya dengan kerajaan hanya membayar RM 5 billion kepada pemegang konsesi maka rakyat tidak perlu bayar tol. Retorik seperti ini jelas apabila sehinggakan Tol di Pulau Pinang dan Selangor masih beroperasi sehingga ke hari ini. Malah anak syarikat negeri turut memegang saham di dalam urusan Tol tersebut.

7b. Dengan kononnya membayar RM 5 billion kepada pemegang konsesi, adakah kemudiannya itu tidak ada kos lain terlibat? Dengan keadaan lebuh raya perlu dibaik pulih, perlu menyediakan kumpulan kecemasan, perlu memastikan keadaan jalan raya selamat dan terjaga dengan baik bukankah itu semua perlukan kos?

7c. Lihat sahaja keadaan jalan raya seliaan Kerajaan Negeri Selangor, terutamanya di Shah Alam. Keadaan jalan raya rosak, berlubang-lubang dan tidak ambil peduli pun oleh Kerajaan Negeri. Itukah gambarannya keadaan lebih raya tidak bertol pada masa akan datang?

8. Hapus Monopoli - Sekali lagi elemen ini diulang kembali dan penjelasannya sama di atas.

9. Langkah seterusnya, adalah merombak Dasar Automotif Negara iaitu dengan berjanji untuk hapuskan cukai eksais sebanyak 70% dan menjanjikan harga serendah RM25,000.

9a. Proton merupakan syarikat yang dilindungi oleh Dasar Automotif Negara ini. Maka dengan penghapusan cukai eksais maka dilihat harga kereta lain akan setanding dengan harga Proton ketika ini. Perlu diingatkan juga antara hikmah mengapa dasar ini dikekalkan adalah supaya Proton boleh bersaing dan anak-anak Melayu diberikan peluang pekerjaan.

9b. Dilihat sahaja kepada tenaga kerja yang terlibat akibat daripa wujudnya Proton ini menjangkau kepada hampir 200,000 orang samada secara langsung ataupun tidak. Sekiranya dilepaskan cukai eksais ini, maka tentunya Proton terpaksa mengecilkan operasi mereka dan ramai anak Melayu dan bumiputera akan kehilangan kerja. Dan mereka ini juga perlu menerima gaji minima RM1,100. Logik manakah Pakatan Pembangkang ini gunakan?

9c. Juga janji harga kereta serendah RM25k tidak dinyatakan kereta jenis apa dan bagaimana untuk menghasilkan kereta pada harga tersebut. Cuma mereka kata mereka percaya sahaja.

9d. Dilihat pula kesinambungan dengan cadangan mereka untuk menaik taraf sistem kenderaan awam, MRT dan sepertinya. Tidak ada satu penjelasan bagaimanakah dengan harga kereta yang murah, orang akan menaiki kenderaan awam. Logik?

9e. Dengan keadaan pasaran yang Pakatan pembangkang katakan mahal inipun keadaan kesesakan lalu lintas terutamanya di Lembah Klang masih lagi sesak, inikan pula apabila kereta diperkenalkan pada harga lebih rendah. Tidak dapat saya bayangkan. Tambahan lagi, minyak pun murah.

9f. Walaupun mereka kata kereta mahal, minyak mahal dan sebagainya, masih ramai lagi individu yang menggunakan kereta malah kereta yang harganya lebih dari RM100,000.

10. Perumahan selesa dan mampu milik untuk semua - Ini satu lagi janji yang dapat disimpulkan sebagai retorik sahaja. Pulau Pinang hanya membina rumah mewah, Selangor pun sama juga. Tidak ada satu unitpun rumah kos rendah dibina dalam tempoh 5 tahun mereka menjadi kerajaan negeri.

10b. Juga menjanjikan 150,000 buah rumah kos rendah dan sederhana dibina dalam tempoh 5 tahun. Pada masa yang sama, Kerajaan Barisan Nasional sudahpun setakat ini membina 808,000 unit rumah yang sudahpun diduduki. Dan 70,000 lagi bakal dibina tahun ini sahaja, termasuk penambahan berperingkat sebanyak 30,000 unit lagi.

11. Pendidikan Percuma , Hapus PTPTN - Pakatan berjanji untuk menanggung semua yuran yang ditanggung. Memberikan elaun sara hidup kecuali mereka yang benar-benar kaya dan menghapuskan PTPTN

11a. Pakatan Pembangkang berjanji akan menanggung baki 10% yuran pendidikan yang perlu mahasiswa tanggung ketika ini. Namun kaedah untuk memberikan satu inisiatif kepada mahasiswa untuk cemerlang tidak diberikan. Hakikat PTPTN pada hari ini akan memberikan mahasiswa pendidikan percuma sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang iaitu Kelas Pertama.

11b. Adakah mahasiswa yang menyokong perkara ini adalah mahasiswa yang tidak mampu untuk mendapatkan kelas pertama? Adakah kerana terlalu sibuk berpolitik maka pelajaran boleh dikompromikan? Ini akan mengundang seribu satu lagi jenis masalah kerana mahasiswa tidak lagi mempunyai satu desakan untuk cemerlang. Apapun keputusan yang diterima, tetap tidak perlu tanggung apa-apa.

11c. Hakikat ini terjadi kepada kebanyakan mahasiswa pro-pembangkang seperti Adam Adli, Safwan Anang dan juga Shukri yang pernah gagal beberapa kali dalam pembelajaran berliau sehingga terpaksa bertukar dari satu universiti ke universiti yang lain. Adakah ini contoh yang baik?

11d. Tambahan daripada kos yuran yang terpaksa ditanggung, kerajaan turut menyediakan elaun sara hidup untuk mahasiswa kononnya untuk kos kediaman, makan dan minum, buku dan pengangkutan. Namun, kaedah dan dana diperlukan tidak pernah dibincangkan pun sebelum ini dan ini baru dinyatakan di dalam Manifesto ini sahaja dan bukan sebelumnya.

11e. Klausa "kecuali mereka yang benar-benar kaya" juga saya fikir melucukan kerana sepatutnya di dalam satu perancangan sudah dinyatakan kriteria 'benar-benar kaya' tersebut. Bagaimana yang dikatakan 'benar-benar kaya' tersebut?

11f. Hapus PTPTN - PTPTN merupakan satu bentuk pinjaman paling mudah pernah disediakan di dalam dunia ini. Termasuk dengan klausa yang menyatakan sekiranya peminjam mendapat kelas pertama, tidak perlu bayar. Kaedah pembayarannya juga amat mudah sehinggakan sekiranya graduan tersebut belum bekerja tidak perlu bayar.

11g. Paling rendah pun dengan gaji minima RM1,100 yang diperkatakan oleh Pakatan sebelum ini, dengan bayaran mengikut kehendak peminjam, sudah tentu nilai yang perlu dibayar setiap bulan tidak akan membebankan peminjam. Tentunya graduan yang cemerlang akan menerima gaji lebih daripada itu, lainlah jika asyik sibuk berpolitik.

12. Hapus AES, Batal Saman AES - Ini adalah berkaitan dengan undang-undang. Seharusnya mereka yang melanggar undang-undang perlu dikenakan tindakan. Dan hanya mereka yang melanggar undang-undang sahaja mahukan ini dibatalkan. Tetapi, dengan pemikiran yang licik yang ada pada Pakatan Pembangkang ini, digambarkan AES ini untuk memberi untung kepada kroni Kerajaan Barisan Nasional sahaja.

12a. Langkah yang dinyatakan dengan menitik beratkan infrastruktur lebih selamat, pendidikan dan amaran bukanlah sesuatu yang belum dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Ini berkenaan dengan sikap pemandu, dan sikap inilah yang perlu diubah demi keselamatan semua pihak. Terlalu mudah untuk Pakatan memberikan alternatif yang efektif.

13. Keadilan untuk warga FELDA - Dengan menggunakan ayat seerti ini, seolah-olah mahu digambarkan yang warga FELDA sedang dizalimi ketika ini. Isu FGV yang dikatakan akan merugikan warga FELDA ini dispin dengan begitu hebat. Pada hakikatnya, bukanlah semua tanah warga FELDA yang termasuk di dalam FGV tersebut. Hanya tanah milik penuh FELDA dimasukkan dan warga FELDA akan menerima laba daripada keuntungan saham tersebut.

13a. Perlu diingtkan di dalam dunia saham, harga saham turun dan naik berdasarkan spekulasi. Sekiranya keadaan negara tidak stabil maka harga saham akan turun mendadak. Menyebarkan khabar angin tentang FELDA bakal bangkrap juga akan menurunkan keyakinan pelabur dan akhirnya menyebabkan harga saham itu turun.

13b. Maka dengan seringkali membuat cerita bahawa FELDA bermasalah, maka Pakatan Pembangkang ini benar-benar memberi kesan kepada harga tersebut akibat daripada kurang yakin pelabur. Walau nai dan turun harga saham FGV itu, ia masih di tahap untung untuk warga FELDA.

14. Keselamatan Rakyat - Manifesto ini menjanjikan 4 perkara pokok mengenai PDRM:

  • Menaikkan gaji 15% - Kerajaan Barisan Nasional telah pun menaikkan gaji angggota polis.
  • Menambah saiz anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan mengurangkan sain pasukan bukan teras (cth PGA) - Ini telah pun termasuk di dalam Strategi Lautan Biru Negara dengan mengadakan kerjasama antara polis dan juga tentera dan secara berperingkat, Tentera akan mengambil tempat anggota bukan teras seperti Polis Hutan dan sebagainya dan anggota dari pasukan tersebut akan diserapkan ke bandar-bandar dan kawasan keselamatan di bawah pasukan teras. (Lebih jelas bukan perancangan Kerajaan Barisan Nasional?)
  • Peruntukan tambahan RM 50 juta untuk membina pos-pos polis di tempat-tempat tumpuan orang ramai - Sudah siap dibina pun pos-pos tersebut dan pasukan khas telah ditubuhkan untuk berkawal di setiap kawasan tumpuan orang ramai lengkap dengan latihan 'Urban Warfare'. (Jika anda perasan pasukan ini, pakaian seragam mereka seolah-olah SWAT sedikit)
  • Peruntukan tambahan RM 200 juta setiap tahun untuk forensik PDRM - Nampaknya tidak perlu saya ulas lagi kerana nampaknya Manifesto ini terlalu banyak idea 'cedok' daripada Barisan Nasional. (Lihat gambar di atas dan tarikhnya)
15. Kemudahan Kesihatan Asas Percuma - Selama inipun memang hospital kerajaan menyediakn perkhidmatan percuma untuk seluruh rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, Pakatan Pembangkang masih terasakan yang ia tidak percuma dan menjanjikan 7 perkara berikut

  • Menolak cukai kesihatan melalui 1Care- Nampaknya niat sebenar 1Care ini terlepas daripada pemahaman Pakatan Pembangkang. Masalah yang berlaku adalah keadaan pada mana kos rawatan di hospital swasta terlalu mahal. Maka dengan memperkenalkan 1Care ini adalah salah satu langkah untuk mengetahui hospital swasta manakah yang caj pesakit terlalu mahal dan boleh dikawal selia oleh Kerajaan.
  • Memberi galakan kepada sektor swata untuk kadar yang berpatutan - Kaedahnya bagaimana? cadangan 1Care telah ditolak, maka apa gantinya?


  • Menghapuskan bayaran wad Kelas 2 dan Kelas 3 di hospital kerajaan - Dato' Ser Liow Tiong Lai telah pun menjawab isu ini. (Gambar di atas)
  • Menghapuskan monopoli ubat - satu lagi gambaran yang salah telah diberikan oleh pembangkang yang sengaja mahu menimbulkan persepsi negatif. Fakta sebenar terdapat 30 syarikat yang berasingan membekalkan ubat dan bukannya satu sahaja. (Klik di sini)
  • Penjimatan daripada monopoli akan digunakan untuk golongan miskin - Tidak ada monopoli bagaimana hendak ada penjimatan dan menurut DS Liow, jika tidak mampu tidak perlu bayar.


  • Memenuhi sasaran seorang doktor 550 rakyat - Sekali lagi tidak diterangkan kaedahnya. Bandingkan dengan kenyataan DS Liow di atas yang mempunyai sasaran dengan kadar graduan yang dihasilkan setiap tahun.
16. Membina Jaringan Keselamatan Sosial Rakyat - Segmen ini menjanjikan untuk meningkatkan bantuan kebajikan dari RM 300 kepada RM 550. Pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional lebih efisien dan efektif dengan memberi bantuan dalam bentuk latihan melalui 1AZAM sehinggakan ada yang berjaya memperoleh RM10,000 sebulan.

16a. Bagi yang tidak mampu untuk bekerja dan sebagainya, bantuan-bantuan lain turut diberikan dan jika diambil jumlah tentang nilai bantuan tersebut boleh mencecah sehingga RM 800 sebulan, jauh lebih dari apa yang Pakatan baru hendak berjanji.

16b. Perkara lain yang dinyatakan seperti Tabung Komoditi Kebangsaan (Skim Takaful Tanaman oleh Kerajaan Barisan Nasional) dan sistem pengkalan data bersepadu telah pun disediakan ataupun di dalam proses persediaan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Kerajaan Rakyat

1. Terdapat 6 isi utama di dalam teras ini iaitu:
  • Mansuhkan akta-akta kezaliman
  • Bebaskan media, kehakiman dan Polis
  • Pilihanraya bersih, adil dan telus
  • Reformasi institusi Islam dan keagamaan
  • Pakej gaji adil penjawat awam
  • Kerajaan tanpa rasuah
2. Kenyataan pertama teras ini pun sudah menunjukkan niat mereka untuk menubuhkan sebuah negara republik yang berlandaskan kepada Sosialis ataupun Komunis.

3. Rakyat adalah tuan kerajaan adalah persepsi yang salah kerana tuan sebenar kerajaan ini adalah Yang Dipertuan Agong dan juga Raja-raja Melayu seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan Perkara 32.

4. Proses pilihanraya yang pada mana rakyat memilih kerajaan adalah untuk mentadbir juga atas dasar persetujuan Yang Dipertuan Agong kerana bagindalah yang akan mempersetujui keputusan untuk membubarkan parlimen dan juga melantik Perdana Menteri dan juga Jemaah Menteri. (Perkara 43)

5. Sekiranya benar sedemikian, di Selangor rakyat boleh sesuka hati masuk ke Pejabat Menteri Besar dan mengarahkan beliau untuk melakukan apa sahaja kerana konsep rakyat adalah tuan kerajaan.

6. Tetapi apabila tuntutan-tuntuan untuk meminta Menteri Besar melunaskan janji beliau pada PRU-13 yang lepas, Pejabat SUK Selangor dikunci dan rakyat yang mereka kata 'tuan' kerajaan tidak dibenarkan masuk.

7. Jelas ini merupakan hanya ayat retorik yang mereka sendiri tidak berniat untuk kotakan.

8. Sekadar mengambil jalan mudah untuk memberikan suatu persepsi populis kepada rakyat untuk menentang kerajaan yang sedia ada.

9. Saya berpendapat kenyataan seperti ini juga boleh dilihat sebagai mengisytiharkan perang kepada yang Dipertuan Agong kerana telah menafikan hak yang Dipertuan Agong sebagai Tuan kepada Kerajaan Malaysia.

10. Lain-lain kenyataan seterusnya adalah retorikal populis biasa yang digunakan untuk memancing undi. Institusi-institusi awam dikatakan sudah hancur dan musnah serta maruah penjawat awam dikatakan sudah dilekehkan. Bukankah tuduhan lekeh itu datangnya daripada mereka sendiri. Menghina Polis, Tentera, Guru, barisan penjawat awam yang telah merangka bajet 2013, SPRM, SPR dan banyak lagi. Mereka yang melekehkan dan mereka juga katakan Barisan Nasional yang melekehkan mereka.

11. Cuma ingin saya bawa anda kepada ayat yang Manifesto ini 'bold'kan iaitu "Kerajaan yang adil bisa dihormat, kerajaan yang zalim wajib disanggah."

12. Kerana saya dapati penggunaan perkataan "bisa" ini tidak lazim bagi teks rasmi yang digunakan di Malaysia. Saya mengsyaki bahawa kemungkinan Manifesto ini dikarang oleh seseorang dari Indonesia kerana hampir keseluruhan Manifesto ini kelihatan terlalu republik dan mirip kepada penggunaan bahasa sosialis Indonesia.

13.  Reformasi Institusi Islam dan keagamaan - Manifesto ini menjanjikan peruntukan yang lebih tinggi untuk institusi Islam malah merujuk kepada apa yang dilakukan nigeri-negeri Pakatan Pembangkang. Di sini berani pula mereka untuk menggunakan sampel negeri untuk menyokong janji mereka yang ini. Elemen yang lain tidak pula mereka berani kemukakan.

13a. malah mereka berjanji untuk menambah nilai tanah-tanah wakaf. Berrjanjikan meningkatkan imej Islam dengan membebaskannya dari manipulasi politik. Berjanji untuk meningkatkan dana Tabung Haji dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun serta berjanji menjamin hak kebebasan agama dan mengamalkannya.

13b. Nampaknya seperti baik-baik belaka namun setelah diteliti kenyataan hak kebebasan beragama ini merujuk kepada kenyataan Nurul Izzah semasa berucap di dalam Gereja tempoh hari dan juga menyokong malah mendokong untuk Kalimah Allah untuk digunakan oleh agama lain kerana frasa "Hak Kebebasan agama" yang dinyatakan.

13c. Kenyataan '... yang dijamin oleh perlembagaan' cuma retorik sahaja yang tidaklah seiring dengan apa yang kita lihat pada kali ini. Patutlah rekabentuk di hadapan manifesto ini memaparkan gereja dan juga checkerboard yang mirip kepada apa yang digunakan oleh Freemason.

13d. Malah ingin bebaskan dari manipulasi politik juga adalah satu pembohongan yang nyata. Seperti yang kita semua maklum, PAS lah yang gemar untuk menghalalkan yang haram demi kepentingan politik. Ulama yang bangkit menentang Pakatan pembangkang ini bukanlah kerana politik UMNO tetapi bangkit untuk mempertahankan akidah Umat Islam. Malah DAP juga telah berani untuk menggunakan gereja sebagai pentas politik seperti yang dilaporkan oleg blog StopTheLies.my

14. Pakej Penggajian dan Perkhidmatan Baru Penjawat Awam - Apa yang hendak dilakukan tidaklah dinyatakan. Terlalu ambigous dan tidak berperancangan. Ayat yang digunakan adalah untuk mempengaruhi penjawat awam sahja dan jika dilihat apa yang Kerajaan Barisan Nasional, banyak perubahan dan pembaharuan telah dilakukan seperti penghapusan sistem SPBA untuk para guru yang disambut dengan baik.

15. Pilihanraya Yang Bersih, Adil dan Telus - Ini juga adalah satu lagi retorik politik yang dibawa oleh bersih. Apabila Pakatan Pembangkang menang 8 PRK sepanjang 2008 sehingga kini, mereka katakan SPR adil dan telus. Apabila barisan Nasional menang 8 PRK juga maka mereka katakan SPR lemah dan sebagainya. Walhal, ia diuruskan oleh SPR yang sama semenjak PRU ke-12!

16. Reformasi Institusi Kehakiman, kamar peguam negara, SPRM dan PDRM - Dalam Perlembagaan Persekutuan jika dikaji struktur pentadbiran negara, jelas kita lihat bahawa telah berlakunya pengasingan kuasa iaitu antara kehakiman, perundangan dan pelaksanaan dan suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan adalah dibawah Yang Dipertuan Agong. Tujuannya adalah untuk Semak & Seimbang. 

16a. Persepsi ini hanya wujud akibat daripada fitnah dan tuduhan-tuduhan palsu yang sering Pakatan Pembangkang lemparkan sejak dahulu lagi. Pelik tetapi benar, mereka yang buat tetapi yang salah tetap Kerajaan Barisan Nasional!

17. Reformasi Parlimen - satu kenyataan yang langsung tidak masuk akal apabila berjanji untuk membebaskan institusi Parlimen sebagai suara rakyat yang mengimbangi kuasa eksekutif. Apa sebenarnya niat mereka apabila berjanji untuk membebaskan institusi Parlimen?


17a. Yang seperti mana kita ketahui, yang mengepalai institusi Parlimen ini adalah Yang Dipertuan Agong. Maka untuk membebaskan institusi Parlimen ini adalah 'membebaskan' daripada YDPA kah? Ini bukankah satu tindakan yang kedua berniat untuk menghapuskan YDPA daripada sistem pemerintahan negara?

18. Kebebasan Media dan mengembalikan amanah kepada pengamal media - Berjanji untuk menghapuskan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media. Adakah Akta Hasutan juga hendak dihapuskan demi kebebasan media?

18b. Ini menunjukkan persepsi yang Pakatan Pembangkang ingin bina untuk menunjukkan kerajaan Barisan Nasional ini zalim dan berat sebelah.

19. Memansuhkan AUKU dan menjamin kebebasan akademik - AUKU untuk dihapuskan? bukankah sudah dipinda akta yang melarang mahasiswa untuk berpolitik. Mengapa AUKU masih lagi mahu dihapuskan. Sudah tentunya di dalam AUKU tersebut terdapat pelbagai akta lain lagi yang meletakkan serta mempertahankan kuota kemasukan orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi agenda utama Pakatan Pembangkang ini untuk hapuskan.

19a.. Sila dapatkan salinan AUKU ini dan anda lihat sendiri bahawa AUKU bukan setakat melarang mahasiswa berpolitik sahaja tetapi terdapat pelbagai lagi akta yang melindungi mahasiswa itu sendiri termasuk tatacara pentadbiran dan pengurusan.

20. Memansuhkan semua undang-undang anti-rakyat - ISA sudahpun dimansuhkan. Akibatnya negara tidak dapat bertindak awal di dalam Krisis Lahad Datu. Menjanjikan Akta Pemulihan Demokrasi namun isi kandungnya tidak diketahui. Malahan terdapat penganalisa politik menjangkakan sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya memerintah maka satu undang-undang seperti ISA akan diperkenalkan. Namanya sahaja bukan ISA.

20a. Manifesto Pembangkang ini juga berjanji untuk membebaskan kesemua tahanan ISA daripada dahulu hinggalah sekarang. Pengganas-pengganas daripada Al-Maunah, JI, dan lain-lain yang tidak didedahkan kepada awam akan berkeliaran di seluruh negara.

20b. Adakah ini peerancangan meraka?
\
21. Dasar Banteras Rasuah (DEBARAN) -  Datuk Abu Kassim Mohamed, Pengersui SPRM telah pun mendapat pengikhtirafan dunia sebagai individu No.4 paling berpengaruh di dunia.



21a. Apakah lagi yang Pakatan Pembangkang hendak manipulasikan SPRM ini? Malah manifesto ini berjanji akan melaksanakan apa yang telah pun dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

21b. Dengan tiga langkah yang dinyatakan itu ternyata tiada satupun yang mempunyai asas tindakan malah rombakan yang dijanjikan berlaku boleh menurunkan prestasi SPRM yang sedang cemerlang ketika ini.

Kesimpulan

1. Terdapat 4 Teras Utama dan 38 janji dan 117 langkah disenaraikan sepanjang Manifesto setebal 37 mukasurat ini.

2. Boleh dipecahkan kepada 3 kesimpulan yang diperoleh daripada 38 Manifesto Pakatan pembangkang ini iaitu:


  • Telah dilaksanakan oleh Kerajaan barisan Nasional : 15 janji
  • Retorik : 20 janji
  • Berlawanan dengan Yang Dipertuan Agong serta Perlembagaan : 3 janji
3. Tidak ada satupun janji Manifesto ini yang bersifat boleh dilaksanakan dan memberi kesan kepada negara. Anda boleh rujuk kembali Manifesto Pakatan Rakyat tahun 2008 dan lihat berapakah janji yang mereka telah laksanakan.



3a. Manifesto 2008 terpecah kepada 2 iaitu Manifesto PKR dan PAS serta Manifesto DAP yang berasingan. Secara jumlahnya di dalam manifesto tersebut terdapat 64 buah janji. dan daripada 64 janji tersebut saya secara peribadi menyatakan bahawa tidak ada satupun daripada janji tersebut ditepati.

4. Malah niat untuk menubuhkan negara Republik jelas dinyatakan di dalam Manifesto ini.

5. Dan tiada satupun daripada Manifesto ini menjelaskan bagaimanakah negara ataupun wawasan yang ingin dicapai oleh Pakatan Pembangkang melainkan hanya bersifat sementara sahaja.

6. Sekiranya ingin dikategorikan sebagai gula-gula politik maka manifesto inilah contoh terbaik gula-gula politik untuk memancing undi pilihanraya.

7. Negara kita cuma tinggal 7 tahun sahaja untuk mencapai Wawasan 2020. Sekiranya diandaikan maka kita berada pada lap yang terakhir sebelum bergelar negara maju.

8. Janganlah sia-siakan usaha Kerajaan malah Rakyat Malaysia sendiri selama 22 tahun sejak ia mula diumumkan pada tahun 1991. Cukup tempoh sehingga 2020 dan nilailah samada wawasan ini dapat tercapai ataupun tidak.

9. Janganlah menjadi dalang kepada hancurnya usaha seluruh rakyat Malaysia secara bersepadu ini semata-mata inginkan Putrajaya.

10. Matlamat Pakatan pembangkang hanyalah ke Putrajaya semata-mata tetapi barisan nasional memandang lebih daripada itu, menjangkau jauh daripada apa yang Pakatan pembangkang lihat. iaitu membawa negara kita menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment