Monday, October 29, 2012

ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN



Berdasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan, agama Islam ternyata diberi kedudukan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini. Ini terbukti apabila undang-undang tertinggi ini menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan manakala agama-agama lain pula bebas untuk dianuti dan dipraktikkan oleh penganut-penganutnya. Dalam konteks negeri-negeri pula, hampir kesemua Perlembagaan negeri-negeri memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri di samping jaminan kebebasan beragama terpelihara sebagaimana dalam perlembagaan. Peruntukan seumpama ini merupakan kesinambungan kepada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri-negeri Melayu sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu 1911. Apa yang menarik untuk diberi perhatian ialah peruntukan mengenai Islam ini diberi keutamaan dari segi urutan peruntukan dalam perlembagaan. 
Walaupun Perlembagaan persekutuan ini telah diiystiharkan sebagai undang-undang tertinggi negara, namun peruntukan mengenainya hanya diletakkan pada Perkara 4. Manakala, bagi Islam pula, kedudukannya yang istimewa telah diberi keutamaan tertinggi dari segi urutan apabila ia diletakkan lebih awal dalam Perkara 3. Meletakkan Agama Islam di awal bahagian dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan dan kedudukannya. Perlu diingat bahawa, walaupun Perlembagaan itu adalah undang-undang utama dan tidak ada yang dapat mengatasinya, namun harus diingat bahawa Islam yang meliputi undang-undang Islam juga merupakan sebahagian dari undang-undang yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Dengan kata lain, undang-undang Islam itu adalah sebahagian dari kandungan  Perlembagaan itu sendiri. 
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menunjukkan bahawa agama Islam telah diberi keistimewaan dalam perlembagaan berbanding agama-agama lain di negara ini. Kedudukan Islam yang istimewa ini tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan permuafakatan bersama pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.
Kedudukan Istimewa Islam ini juga telah mengambil kira elemen-elemen tradisional penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu ratusan tahun sebelumnya yang terus menerus dipertahankan . Contohnya, agama Islam telah menjadi anutan sejak ratusan tahun bagi orang-orang Melayu. Kerajaan Melayu Melaka yang bertapak kukuh selama lebih kurang 100 tahun pada kurun ke-15 telahpun memperkenalkan undang-undang Islam yang dikenali Hukum Kanun Melaka. Walaupun undang-undang tersebut dikatakan mengandungi unsur-unsur adat, namun sebahagian besar kandungannya merupakan undang-undang Islam sebenar meliputi perkara-perkara sivil dan jenayah.
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama Islam. Apa yang penting dalam hal ini ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan penting dalam undang-undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku sedemikian rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang-undang tidak syak lagi dapat mengikis rasa ketidakpuas hati mana-mana pihak terhadap suatu peruntukan undang-undang itu.