Friday, April 27, 2012

KITA PERLU BERSEDIA.

Abad baru ini akan memperlihatkan percubaan untuk menghapuskan sempadan-sempadan antara negara-negara dalam proses yang dinamakan globalisasi. Malangnya proses ini dihadkan kepada pergerakan modal sahaja. Penghijrahan oleh rakyat negara miskin ke negara yang maju dan kaya tidak akan dibenarkan. Demikian juga teknologi negara maju tidak boleh dipindahkan ke negara membangun walaupun tidak ada sempadan yang memisahkan negara maju dari negara membangun.

 Dengan globalisasi dan penghapusan sempadan kepada pergerakan modal, negara dan umat Islam akan terdedah kepada bahaya yang amat besar. Jika umat Islam masih bersengketa sesama sendiri, masih menolak penguasaan ilmu dan teknologi moden, masih tidak tersusun rapi daripada segi organisasi dan ketertiban, bahaya yang akan datang ini tidak akan dapat dihadapi dan diatasi oleh umat Islam. Kita bukan sahaja tidak mempunyai harapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam tetapi kita akan menjadi lebih lemah dan mundur dari keadaan sekarang.

 Kita boleh menyalahkan musuh-musuh Islam jika mereka melontar bom dan roket ke atas kepala kita, tetapi kita juga tidak kurang bersalah, bahkan berdosa kerana tidak mengamalkan ajaran Islam berkenaan penguasaan ilmu dan persediaan untuk pertahanan. Pada satu masa dalam sejarah Islam terdapat kuasa dunia yang terdiri daripada negara Islam. Tetapi kerana beberapa kesilapan, semua kuasa besar Islam telah ditewaskan, yang terakhir pada Perang Dunia Pertama dalam dekad kedua, abad ke-20. Sejak itu tidak ada usaha di kalangan umat Islam dan negara- negara Islam untuk membangunkan negara supaya setanding dengan kuasa-kuasa dunia yang lain.

 Bukanlah niat kita untuk menguasai dunia tetapi jika ada sebuah negara Islam yang diiktiraf sebagai kuasa dunia, sudah tentu tidak akan ada mana-mana kuasa dunia lain yang akan menindas orang Islam dan negara Islam dengan sewenang-wenangnya.

 Sebenarnya terdapat negara Islam yang kaya-raya. Umat Islam pula tidak kurang daripada segi kebolehan menerap ilmu dan teknologi canggih. Tetapi oleh kerana tidak ada tekanan dalam ajaran Islam oleh pihak tertentu, maka keadaan yang sesuai dengan penguasaan ilmu dan teknologi dan juga pengurusan moden tidak terdapat di negara Islam. Dengan itu negara Islam tidak dapat dibangunkan sehingga menjadi kuasa dunia.

 Yang lebih menyedihkan lagi ialah ajaran Islam dibelakangkan sehingga apa yang dilarang di amalkan. Negara-negara Islam sering berkelahi dan berperang sesama sendiri. Mereka sanggup bersubahat dengan musuh Islam kerana ingin mengalahkan negara Islam lain. Mereka menghabiskan kekayaan mereka membeli senjata yang dijual oleh pihak asing guna untuk meneruskan peperangan sesama mereka.
 Inilah sebabnya yang kita orang Islam tidak boleh menyalahkan musuh-musuh Islam sahaja. Orang Islam sendiri tidak kurang bersalah. Mereka tidak mengikuti ajaran Islam, baik berkenaan dengan penguasaan ilmu dan persediaan pertahanan mahupun desakan supaya umat islam bersatu dan bersaudara.

 Kita tahu dan kita sering berbangga bahawa di zaman kegemilangan Islam, orang Islamlah yang meneroka dan menguasai semua ilmu. Walaupun mereka tetap menghabiskan masa yang panjang mengejar ilmu yang bukan khusus berkenaan agama, pegangan mereka kepada Islam tidak luntur. Sebenarnya ramai daripada pakar dalam bidang sains, matematik, pelayaran dan lain-lain ilmu, juga pakar dalam bidang agama. Dan masyarakat Islam di zaman kegemilangan ilmuan kukuh dengan pegangan kepada ajaran Islam.

 Ini menunjukkan bahawa iman penganut agama Islam tidak akan menjadi lemah semata-mata kerana mengejar ilmu yang tidak khusus tertumpu kepada agama. Tidak ada kekhuatiran bahawa menuntut ilmu yang bukan khusus berkenaan dengan agama akan melemahkan iman.

 Jika umat Islam ingin mengembalikan zaman kegemilangan Islam maka kita harus pandai membahagikan masa antara pelajaran yang khusus berkenaan dengan agama dan pelajaran ilmu-ilmu yang boleh menolong kita menunaikan fardu kifayah -- iaitu mempertahankan negara dan umat Islam. Masanya sudah tiba bagi kita memikirkan dengan mendalam berkenaan perkara ini.

 Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dengan kekayaan yang sederhana. Umat Islam di Malaysia hidup sempurna dan berpeluang untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar supaya dengan itu kita dapat meningkatkan ketahanan kita. Walaupun kita tidak mungkin menjadi kuasa besar, sedikit-sebanyak dapat juga kita menyumbangkan kepada pertahanan umat Islam. Umpamanya kita dapat menghantar pasukan tentera kita ke Bosnia Herzegovina. Kehadiran mereka di sana telah menaikkan sedikit semangat penduduk Islam yang diserang oleh puak Serb. Ini adalah bukti yang jelas bahawa dengan sedikit usaha daripada kita, sudahpun mencukupi untuk kita bertindak dengan berkesan untuk melindungi umat Islam. Jika seluruh umat Islam berusaha, walaupun sedikit, kesannya sudah mencukupi bagi melindungi umat Islam di seluruh dunia.

 Justeru itu, rakyat terutama umat Islam di negara ini harus berusaha untuk merebut peluang-peluang yang disediakan bagi memajukan bangsa dan negara kita. Kita tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan melihat orang lain terus maju seiring dengan kemajuan dunia. Kita tidak harus berpuashati dengan pencapaian dan kejayaan kita setakat ini. Kita tidak harus berada di takuk lama dan mengekalkan tabiat-tabiat yang usang dan buruk yang tidak menguntungkan kita selama ini. Kita tidak boleh membiarkan orang lain selalu mendahului kita. Kita harus dikejar dan bukannya mengejar orang lain.

No comments:

Post a Comment