Saya telah membaca secara teliti serta mempunyai beberapa pandangan terhadap kenyataan dikeluarkan Jabatan Kastam bagi memberi penjelasan tentang ‘kehilangan’ RM18 bilion baru-baru ini”
1. Pihak kastam mengesahkan kutipan GST tidak dicuri, dirompak atau disalurkan ke mana-mana akaun tidak sah, sebaliknya didepositkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan yang kemudiannya membayar kepada akaun tuntutan GST secara berkala.
2. Tempoh yang disebut adalah sehingga 31 Mei 2018. BN hilang kuasa pada 9 Mei 2018. Ini bermakna, permintaan untuk menyalurkan dana ke akaun amanah tuntutan GST bagi bulan April dan Mei 2018 adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
3. Jumlah tuntutan adalah berdasarkan kepada borang GST-3, di mana ia diisi oleh pemilik perniagaan untuk membuat tuntutan. Ia kemudiannya bergantung kepada berapa jumlah yang sudah diaudit atau diluluskan pihak kastam. Ia adalah jumlah kasar dan bukan jumlah yang sudah diluluskan. Berapa jumlah tertunggak yang sudah diaudit, ditolak atau diluluskan oleh kastam sebelum membuat permohonan dana dipindahkan ke dalam akaun amanah tuntutan GST?
4. Tuntutan yang dibuat selepas PRU14 bagi GST input untuk bulan April dan Mei kemungkinan pada jumlah yang sangat besar kerana pada bulan berikutnya adalah GST sifar dan perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST bahan mentah mereka serta merta menyebabkan sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.
Berapa jumlah daripada RM19.4 bilion ini adalah dari tuntutan baharu berikutan daripada pensifaran GST?
5. Biarpun mengambil kira tuntutan GST bagi April dan Mei yang amat tinggi di mana ia bukan lagi di bawah kerajaan BN, masih lebih 76 peratus daripada tuntutan GST sudah dibuat oleh kerajaan BN dan menunjukkan tidak berlaku langsung rompakan seperti dituduh.
6. Saya tidak pernah menuduh kerajaan PH menggunakan kesemua RM18 bilion dalam masa 3 minggu sahaja tetapi untuk masa 3 bulan ini. Ini jawapan yang tidak masuk akal dari Lim Guan Eng. Soal pokok ialah mengapa Menteri Kewangan mengambil masa sehingga 3 bulan untuk menyedari terdapat tunggakan tuntutan sebanyak RM18 bilion dan kini berkata kerajaan tidak boleh membayarnya kerana wang itu sudah ‘dirompak?’ RM18 bilion bukan angka yang kecil.
Apa yang saya lihat, kerajaan PH sebenarnya tidak menjangka peningkatan mendadak tuntutan GST sebaik ia disifarkan.
Pengecualian cukai GST selama 3 bulan di mana kerajaan tidak lagi memperolehi pendapatan dari GST atau SST turut bermakna wang di dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya disalurkan, mungkin sudah digunakan bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.
Diburukkan lagi dengan kutipan SST yang lebih rendah berbanding GST, kerajaan dijangka tidak memiliki dana untuk membayar tuntutan GST tertunggak itu. Ini akan memberi kesan kepada pelabur yang risau bahawa janji Guan Eng bahawa kerajaan PH akan mencapai defisit bajet 2.8 peratus tidak akan dapat ditunaikan.
Tidak mencapai sasaran janji defisit bajet turut akan mengurangkan keyakinan pelabur dan akan menyebabkan penarafan kredit negara ini diturunkan.
Apapun, hasil siasatan PDRM, SPRM dan PAC yang difailkan oleh beberapa pemimpin BN sendiri akan pasti menunjukkan siapa yang bercakap benar dan sebaliknya, sama ada berlaku ‘rompakan’ sebagaimana dituduh oleh Guan Eng.
DS Najib Razak
No comments:
Post a Comment