Bimbang tindakan terancang terhadap raja-raja Melayu
Pas bimbang jika kelakuan sesetengah pihak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V merupakan tindakan terancang untuk meruntuhkan institusi raja-raja Melayu.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, rasa tidak puas hati terhadap Seri Paduka tidak boleh menjadi tiket untuk menghina dan mengecam terutama Yang di-Pertuan Agong adalah sebuah institusi yang menjadi payung negara.
Beliau juga khuatir sekiranya tindakan terancang itu bermaksud cubaan menghidupkan budaya anarkisme dan ekstremisme sosialis dalam negara ini.
“Gerakan pelampau mesti ditangani secara serius oleh pemerintah dan diharapkan masyarakat Malaysia yang kaya dengan budi pekerti tidak terjebak dalam gerakan pelampau ini. Sederhana dalam semua perkara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, terdapat segelintir pihak terutamanya netizen mempersoalkan kelewatan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan dengan membuat dakwaan kononnya hal itu berlaku kerana tidak mendapat perkenan Seri Paduka.
Tambah Nasrudin, menghina bukan akhlak Islam dan budaya orang timur.
“Perbuatan menghina dan mengkritik secara keterlaluan itu bukan sahaja mencemar budaya ketimuran, malah mencetus ketegangan dan mengganggu keharmonian masyarakat dalam negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment