Thursday, May 24, 2018

KERAJAAN TERBEBAN DENGAN TUDUHAN SEMASA MENJADI PEMBANGKANG





CERITA POLITIK ATAU FAKTA?

1. Kata-kata dan pertuduhan yang dilakukan semasa menjadi pembangkang dahulu, kini membawa bebanan yang sangat berbeza apabila anda berkuasa dan memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan atau Perdana Menteri.

2. Mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa bahawa nisbah hutang kerajaan negara kita kepada KDNK kini 65%, yang merupakan lonjakan besar dari angka rasmi 50.9% dan mengatakan bahawa hutang negara kita sekarang RM1 trilion tanpa memberikan apa-apa perincian mengenai apa yang anda maksudkan hanya akan menimbulkan pergolakan pasaran kewangan, menakutkan agensi penarafan kredit dan menghilangkan keyakinan pelabur terhadap institusi kita seperti Bank Negara Malaysia.

3. Perlu ada garis pemisah yang jelas antara mainan politik dan fakta. Mencampur adukkan keduanya akan menimbulkan keraguan tentang kredibiliti dan profesionalisme institusi yang terlibat dalam penyediaan fakta yang selama ini mematuhi undang-undang negara dan piawaian antarabangsa.

4. Hasil dari kenyataan-kenyataan membimbangkan dan mengelirukan ini, indeks Bursa Malaysia jatuh paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia yang mengakibatkan berpuluh-puluh bilion ringgit dalam nilai pasaran hilang dalam satu hari. Indeks Bursa kita jatuh 40.78 mata hari ini (bersamaan 2.21%) sedangkan indeks stok Indonesia menokok 0.71%.

5. Kebimbangan terhadap hutang awam adalah merupakan faktor penyumbang kejatuhan saham negara kita menurut portal berita perniagaan The EdgeMarkets.

Sudah pasti kejatuhan ini akan menjejaskan dana2 kita seperti KWSP dan PNB dan ini boleh menurunkan kadar dividen bagi anggotanya tahun ini.

6. Begitu juga, mengeluarkan kenyataan bahawa kita tidak perlu bimbang tentang penarafan kredit negara kita yang diturunkan akan mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap institusi negara kita.

7. Penurunan ini akan mengakibatkan kos pembiayaan hutang yang lebih tinggi sebanyak RM10 bilion setahun ke atas negara kita dan boleh menyebabkan bank kita yang telah meminjam dari pasaran antarabangsa untuk menanggung kerugian. Ini juga boleh menyebabkan aliran keluar modal yang besar dari kalangan pelabur asing dan menyebabkan Ringgit menjadi lemah.

8. Walaupun anda mungkin mahu memfitnah dan menyalahkan saya untuk memberikan persepsi kepada rakyat akan kedudukan kewangan yang ‘mengerikan’ sebagai alasan mengapa anda tidak dapat menunaikan janji manifesto anda dan melakukan pemotongan perkhidmatan awam secara besar-besaran, anda harus ingat bahawa negara dan rakyat perlu didahulukan.

9. Anda juga boleh terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai 1MDB atau memberitahu cerita separuh masak mengenainya bagi menyalahkan saya tetapi masa untuk bermain politik persepsi telah berakhir.

10. Kata-kata yang dituturkan ketika berkuasa mengakibatkan kerugian sebenar kepada negara dan rakyat. Seperti yang terbukti hari ini di pasaran saham negara kita. Ia bukan sekadar mengejar undi lagi seperti ketika dahulu anda menjadi pembangkang.

https://m.facebook.com/najibrazak/posts/10155355533725952

Najib Razak

No comments:

Post a Comment