Thursday, March 15, 2018

WANITA BERUMUR LEBIH MUDAH DI SERANG BARAH


Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM), mendedahkan seorang daripada empat wanita yang hayatnya mencecah usia 70 tahun dikesan berisiko diserang tiga jenis barah.

Tiga jenis kanser paling kerap dialami wanita kanser payudara, kolorektal (kanser kolon dan rektum) dan serviks.

Ketua Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kanser payudara adalah paling tinggi dikesan, iaitu mencatat 31 peratus, diikuti kolorektal (11 peratus) dan kanser serviks (tujuh peratus).

Katanya, lebih membimbangkan 60 peratus daripada wanita hanya menyedari mereka mempunyai kanser apabila memasuki tahap ketiga dan keempat.

Bagi pesakit yang lewat mengetahuinya, kebarangkalian untuk sembuh sebanyak 30 peratus berbanding 90 peratus bagi yang membuat pemeriksaan awal.

"Perkara itu jelas menunjukkan tahap kesedaran wanita tempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesan tiga jenis kanser utama itu masih rendah.

"Setiap tahun statistik kanser meningkat dan pentingnya mewujudkan kesedaran mengenai penyakit ini adalah lebih ketara berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hari Kanser Wanita : Kesedaran, Pencegahan dan Rawatan, di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, kelmarin.

Program sehari disertai kira-kira 500 pengunjung itu mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif antaranya pemeriksaan kesihatan, ceramah dan perkongsian maklumat berkenaan kanser.

Sesi forum berkenaan kanser dihadiri Pakar Radiologi (Kanak-Kanak) Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Faizah Mohd Zaki; Pensyarah Kanan Pusat Citra UKM, Dr Abdul Salam Yusuf dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr Mohammad Zaini Yahaya serta Pengarah program Hari Kanser Wanita, Dr A'dawiyah Ismail.

Dr Dalilah berkata, kanser juga boleh berlaku pada sesiapa saja kerana laporan perubatan menunjukkan 80 peratus pesakit kanser tidak mempunyai sejarah keluarga manakala 20 lagi adalah faktor genetik.

Katanya, contohnya statistik kanser payudara menunjukkan hanya 21 peratus penyakit itu berjaya dikesan pada peringkat pertama, 37 peratus pada peringkat kedua dan selebihnya dikesan pada peringkat ketiga serta keempat.

"Kanser payudara bukanlah penyakit yang baru dikesan di dunia dan menjadi kebimbangan setiap perempuan kerana sesiapa saja mempunyai risiko menghidap penyakit pembunuh nombor satu wanita itu.

"Hakikatnya, lebih awal kanser itu dikesan lebih besar peluang rawatannya berjaya dan pesakit mampu meneruskan kehidupan sama seperti individu sihat lain," katanya

Dr Dalilah berkata, wanita perlu mengambil tahu setiap perubahan berlalu pada tubuh mereka seperti mana rutin penjagaan wajah.

"Seperti penjagaan payudara, wanita digalakkan untuk melakukan pemeriksaan sendiri di rumah setiap hari untuk memastikan tiada ketulan luar biasa atau perdarahan di bahagian puting.

"Bagi kanser sukar dikesan seperti pangkal rahim wanita boleh dapatkan suntikan vaksin untuk mencegah kanser," katanya.

Sementara itu, A'dawiyah berkata program diketengahkan itu bagi memberikan kesedaran kepada pelajar dan pengunjung mengenai kepentingan penjagaan gaya hidup dan kesihatan selain pencegahan awal kanser.

Katanya, program buat julung kali itu juga membuka peluang jalinan kerjasama antara industri, kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti bagi memupuk kesedaran mengenai bahaya kanser dalam kalangan wanita.

"Masyarakat perlu tahu lebih awal kanser akan memudahkan rawatan selanjutnya dan mengurangkan risiko kematian.

"Ramai wanita ada kesedaran mengenai penyakit itu, namun jumlah individu yang bertindak dalam amat rendah dan ini membimbangkan kita," katanya.

sumber : Berita Harian 


No comments:

Post a Comment