Wednesday, April 19, 2017

BERGENANG MATA PERDANA MENTERI MEMBACA SURAT PELAJAR INI



Datuk Seri Najib Tun Razak terharu apabila menerima surat tulisan tangan daripada seorang pelajar yang tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU), Faiz Alian Mohd. Zamre yang memberi penghargaan kepada kerajaan kerana membantunya dari segi kewangan menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Rasa terharu itu diluahkan Perdana Menteri menerusi status terbaharu di akaun Facebook dan Twitter miliknya dengan turut memuat naik surat tersebut.

Jelas Najib, beliau masih mengingati Faiz Alian kerana pernah berjumpa dengan pelajar itu pada 2015, dan mendapatinya seorang yang cerdik serta gigih dalam mengharungi segala cabaran.


“Terharu saya membaca surat tulisan tangan daripada Faiz Alian, anak muda kelainan (kurang) upaya yang dibesarkan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu restoran di Kota Bahru.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan, dia berjaya mencatatkan keputusan cemerlang 10A dalam PT3 dan terbaharu ini keputusannya di tingkatan lima juga amat memberangsangkan. Saya doakan yang terbaik untuk Faiz Alian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan saya yakin dia mampu berjaya cemerlang, insya-Allah,” kata Najib dalam statusnya malam ini.

Najib mengucapkan terima kasih kepada Faiz Alian dan ramai lagi penerima manfaat daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang menghantar surat kepadanya.

“Kami tak akan pernah lupa mahupun leka daripada menunaikan tanggungjawab menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha kerajaan untuk menaikkan daya saing dan taraf ekonomi bumiputera akan kita teruskan dan insya-Allah, saya akan kongsikan kisah penerima manfaat dan pelan seterusnya dalam ucapan saya mengenai Transformasi Ekonomi Bumiputera esok,” katanya.

Dalam surat berkenaan, Faiz Alian yang merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik berkata, walaupun keluarganya hidup dalam keadaan serba kekurangan, namun hasil bantuan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera telah membolehkan dia belajar dengan selesa tanpa perlu memikirkan masalah kewangan dihadapi.

“Saya akan mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM 2017 bagi membanggakan kedua ibu bapa saya, sekali gus membalas jasa baik pihak Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera,” katanya di dalam surat tulisan tangannya itu. - UTUSAN ONLINE




Terharu saya membaca surat tulisan tangan daripada Faiz Alian, anak muda kelainan upaya yang dibesarkan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu restoran di Kota Bahru. Saya masih ingat lagi ketika berjumpa dan bersembang dengannya pada tahun 2015 yang lalu, betapa beliau seorang yang cerdik dan gigih dalam mengharungi segala ujian dan cabaran.

Alhamdulillah, berkat kesungguhan, Faiz berjaya catat keputusan cemerlang 10A dalam PT3, dan terbaru ini keputusannya di Tingkatan 5 juga amat memberangsangkan. Saya doakan yang terbaik untuk Faiz dalam peperiksaan SPM, dan saya yakin Faiz mampu berjaya cemerlang, Insya-Allah.

Terima kasih kepada Faiz, dan juga ramai lagi penerima manfaat daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang menghantar surat. Kami tak akan pernah lupa mahupun leka daripada menunaikan tanggungjawab menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Usaha kerajaan untuk menaikkan daya saing dan taraf ekonomi Bumiputera akan kita teruskan, dan Insya-Allah, saya akan kongsikan kisah penerima manfaat dan pelan seterusnya dalam ucapan saya mengenai Transformasi Ekonomi Bumiputera esok.




No comments:

Post a Comment