Puluhan media dalam dan luar negara yang telah berkampung di Kedutaan Korea Utara sejak minggu lepas bersorak gembira sebaik sahaja kenderaan rasmi duta negara itu ke Malaysia, Kang Chol beredar menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Keadaan di pintu pagar Kedutaan Korea Utara yang terletak di Jalan Batai, Bukit Damansara itu agak kelam kabut ekoran puluhan media cuba untuk mendapatkan komen sebaik sahaja kenderaan rasmi Kang Chol jenis Jaguar X beredar meninggalkan premis berkenaan pada pukul 3.55 petang.
Kenderaan rasmi yang membawa Kang Chol turut membunyikan hon tanpa berhenti sehingga ada di antara media luar negara menjerit tanpa diketahui apa biji butirnya.
Kang Chol dilihat memakai kot hitam dan menaiki kereta jenis Jaguar yang merupakan kenderaan rasmi kedutaan itu termasuk pemandunya dan dikatakan akan menaiki penerbangan ke Beijing, China pada pukul 6.30 petang ini.
Ada sesetengah media berkampung di kedutaan berkenaan sejak pertengahan Februari lalu ekoran insiden pembunuhan yang membabitkan warganya, yang juga abang pemimpin negara itu Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam.
Jong-nam dipercayai dibunuh di KLIA2 menggunakan bahan kimia terlarang, Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX pada 13 Februari lalu dan dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua orang wanita dikatakan menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Kelmarin, media melaporkan Malaysia mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata (orang yang tidak dihargai) dan mengarahkan pegawai diplomatik berkenaan meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin di Wisma Putra di Putrajaya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment