Thursday, March 16, 2017

SAH ! DIA POSITIF DADAH



Remaja perempuan yang meng­a­kibatkan seorang lelaki maut selepas memandu secara me­lawan arus di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Permatang Pauh di sini semalam, bukan sahaja dikesan berada dalam keadaan mabuk malah turut positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ujian air ken­cing remaja berusia 19 tahun itu didapati positif amphetamine.

Menurutnya, remaja itu yang memandu kereta Proton Gen2 dan baru pulang dari sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam terlebih dahulu bergesel dengan tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Alza, sebuah van dan sebuah lagi kereta yang tidak dikenal pasti di Kilometer 128 lebuh raya berkenaan sebelum Plaza Tol Sungai Dua.

“Remaja terbabit yang datang dari arah Bukit Mertajam menghala ke Sungai Dua secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum plaza tol dan bergesel dengan tiga kenderaan terbabit sebelum dia terus memecut keretanya melawan arus sejauh lima kilometer sebelum terlibat kemalangan kedua,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 7.50 pagi itu, seorang pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, 26, terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di atas jejambat Permatang Pauh.

Dia yang memandu kereta Perodua Kelisa kemudian terbabas ke arah kiri jalan dan me­rempuh sebuah motosikal ditunggangi Razali Abdullah, 27, yang dalam perjalanan ke Lahar Tiang, Kepala Batas.

Mohamad Fandi yang baharu tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri Norashikin Halim, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang, Se­langor dan sedang mengandung empat minggu.

Kereta Proton Gen2 itu kemudiannya merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari, sebuah van pekerja jenis Nissan dan kereta Hyundai Sonata yang turut mengakibatkan kesemua pemandunya cedera ringan.

Tambah Nik Ros Azhan, pi­haknya menerima empat laporan polis daripada pemandu yang terlibat dalam kejadian itu manakala tiga lagi laporan dibuat oleh pemandu kende­raan yang terlibat kemalangan di Sungai Dua.

Selain itu, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada lapan saksi termasuk empat saksi awam yang menyaksikan kejadian itu.

“Remaja perempuan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

“Pihak polis akan melengkap­kan siasatan segera bagi tujuan pendakwaan,” ujarnya



No comments:

Post a Comment