Friday, September 16, 2016

SEGERAKAN AUDIT BEBAS


KENYATAAN MEDIA 

SPAD AKAN MENYEGERAKAN AUDIT BEBAS DAN MENGARAHKAN PRASARANA UNTUK MENAIK TARAF LALUAN KELANA JAYA BAGI MENJAMIN TAHAP KEBOLEHPERCAYAAN PERKHIDMATAN 

Kuala Lumpur, 15 September 2016 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menugaskan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan dengan meningkatkan ketersediaan bekalan kuasa elektrik dan pengurusan insiden, berikutan penilaian awal mengenai gangguan perkhidmatan LRT di Laluan Kelana Jaya minggu lalu. 

SPAD memandang serius insiden baru-baru ini dan telah memulakan siasatan terhadap aspek-aspek teknikal dan bukan teknikal yang terlibat. Prasarana juga telah diarahkan bagi menyerahkan laporan siasatan awal kepada Suruhanjaya pada 21 September 2016. 

SPAD akan melantik juruaudit teknikal bebas pada kadar yang segera bagi melaksanakan penilaian terhadap aspek-aspek kebolehpercayaan, ketersediaan, penyelenggaraan, keselamatan dan keupayaan operasi LRT laluan Kelana Jaya, dan ini dijangkakan akan mengambil masa selama tiga bulan. Langkah-langkah ini diperlukan bagi membolehkan penelitian terhadap isu-isu sistem yang tidak diliputi di dalam skop siasatan yang dijalankan oleh Prasarana. Ini melibatkan proses-proses semakan semula dan peningkatan penyelenggaraan aset bagi mencapai tahap kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih tinggi. 

Prasarana juga telah diarahkan untuk memberikan lebih penekanan terhadap pengesanan masalah secara proaktif dan melakukan penyelenggaraan pencegahan terhadap bekalan elektrik LRT serta penyelenggaraan tren bagi mengelakkan gangguan pada masa hadapan demi menyediakan perkhidmatan LRT yang boleh dipercayai kepada pengguna. 

SPAD telah mengarahkan Prasarana untuk melaksanakan tindakan pemulihan segera dengan mengerahkan usaha dan sumber yang maksimum untuk menaik taraf 15 pencawang kuasa sepanjang Laluan Kelana Jaya. Kerja-kerja tersebut dijangka siap di dalam tiga hingga enam bulan daripada tarikh pelaksanaan. Usaha-usaha penting ini akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada Laluan Kelana Jaya dengan membekalkan kuasa yang mencukupi untuk menyokong permintaan yang kian meningkat, peningkatan penumpang pada masa hadapan dan juga bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatan. 

Menuju ke arah pengurusan risiko yang lebih menyeluruh, Suruhanjaya juga akan memastikan pengendali mengemukakan dan menguruskan pelan risiko, analisis trend dan pelan peningkatan bersertakan garis masa terperinci bagi mengenal pasti serta menangani permasalahan teknikal. Ini melibatkan pemantauan laporan berkala yang berpandukan kepada penunjuk prestasi utama bagi mengesan masalah dari peringkat awal lagi serta bagi membolehkan tindakan pencegahan dapat dilakukan.

Di bawah pemantauan SPAD, Prasarana akan menyemak semula dan menambahbaik Tatacara Prosedur Standard (SOP) bagi Pelan Keselamatan dan Pemindahan penumpang. Ini adalah bagi mengukuhkan proses tindakan kecemasan pengendali dan meningkatkan proses komunikasi serta kesediaan kakitangan barisan hadapan untuk menjangka keperluan pengguna dengan lebih baik. Sebagai langkah permulaan, SPAD telah mengarahkan 

Prasarana untuk menghentikan operasi tren sepanjang landasan yang mengalami gangguan ketika proses pemindahan penumpang sedang dijalankan. 

SPAD mengakui bahawa rangkaian rel merupakan tulang belakang kepada pengangkutan awam darat kita, dan ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Suruhanjaya akan gigih berusaha untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan sistem LRT untuk manfaat pengguna. 

-Tamat- 

No comments:

Post a Comment