Sunday, February 28, 2016

Kenyataan oleh Dato 'Sri Azalina Othman Said

Kenyataan oleh Dato 'Sri Azalina Othman Said
Feb 27, 2016

1. Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin hari ini berkata beliau telah diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara ketika masih berjawatan, berkenaan dengan 'bukti' dakwaan perlakuan jenayah terhadap Perdana Menteri.

2. Ini adalah satu pengakuan bahawa terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, yang bertentangan dengan amalan proses demokrasi dan keputusan rakyat pada pilihan raya umum lepas.

3. Pertama, hakikat bahawa Peguam Negara secara peribadi memberi taklimat dan berkongsi maklumat undang-undang sulit dengan Tan Sri Muhyiddin yang merupakan ahli Jemaah Menteri dan ahli UMNO yang jelas mempunyai kepentingan, bukan sahaja tidak beretika tetapi juga melanggar Akta Rahsia Rasmi .

4. Kedua, bagaimana mungkin Peguam Negara mempunyai cukup "bukti" untuk mendakwa Perdana Menteri ketika itu, apabila siasatan masih belum dimulakan.

5. Ketiga, adakah ia "bukti" yang sama dirujuk Wall Street Journal apabila mereka mendakwa telah melihat dokumen sulit dan menggunakan alasan ini sebagai asas untuk membuat pelbagai tuduhan terhadap Perdana Menteri.

6. Dalam mana-mana sistem kehakiman, di mana sahaja di dunia, terdapat satu proses standard yang diikuti. Jika terdapatnya pertuduhan terhadap seseorang, pihak berkuasa yang sah akan menjalankan siasatan, - jika mereka masih mempunyai sebab untuk mempercayai jenayah itu telah dilakukan - kertas pertuduhan akan disediakan.

7. Tetapi, dalam kes ini, kertas pertuduhan dikatakan diambil pada bulan Mei 2015 - sebelum Pasukan Petugas Khas dibentuk, sebelum siasatan dimulakan pada bulan Jun 2015, dan sudah tentu sebelum Perdana Menteri diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Disember 2015. Ini membuktikan bahawa terdapatnya konspirasi.

8. Berdasarkan kenyataan beliau, Tan Sri Muhyiddin juga secara tidak langsung mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara ketika itu serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

9. Untuk makluman, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan 2016 membebaskan Perdana Menteri daripada sebarang salah laku berkenaan isu sumbangan tersebut. Di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, ia adalah hak Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding yang melibatkan kesalahan jenayah. Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa, termasuk badan kehakiman. Oleh itu, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan pendakwaan, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mencabar keputusan itu. Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa keputusan Peguam Negara itu dibuat selepas siasatan terperinci dari semua sudut pada laporan yang dikemukakan oleh SPRM.

10. Oleh itu, ia seolah-olah menunjukkan bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja melanggar Akta Rahsia Rasmi, tetapi juga bersubahat dalam konspirasi bermotifkan politik untuk memanipulasi dan penyalahgunaan sistem perundangan kita untuk menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

11. Mengapa hanya kini Tan Sri Muhyiddin membuat pengakuan sebegitu, sebaik sahaja beliau digantung sebagai Timbalan Presiden? Apakah motif tersembunyi dan agenda beliau? Tindakannya boleh dilihat sebagai bersubahat kerana dia mendakwa mempunyai maklumat mengenai perbuatan jenayah yang didakwa, tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa sehingga ke hari ini?

Dato' Sri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Diterjemah oleh : JASA