Saturday, February 13, 2016

CADANGAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA MALAYSIA DENGAN BANGLADESH MENGENAI PENGGAJIAN PEKERJA BANGLADESH MELALUI MEKANISME KERAJAAN KEPADA KERAJAAN PLUS (MOU G-TO-G)

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

CADANGAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA MALAYSIA DENGAN BANGLADESH MENGENAI PENGGAJIAN PEKERJA BANGLADESH MELALUI MEKANISME KERAJAAN KEPADA KERAJAAN PLUS (MOU G-TO-G)


1. Kementerian ingin memaklumkan bahawa cadangan Memorandum Persefahaman mengenai penggajian pekerja Bangladesh melalui mekanisme Kerajaan Kepada Kerajaan Plus (MOU G-to-G Plus) antara Malaysia dan Bangladesh dijangka akan ditandatangani dalam masa terdekat setelah mendapat pengesahan tarikh dan persetujuan daripada kedua-dua negara. Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh YB Dato’ Sri Richard Riot, Menteri Sumber Manusia. Pelaksanaan MOU G-to-G Plus ini hanya terhad di Semenanjung Malaysia sahaja.

2. Selaku urusetia kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di atas kapasiti YAB Timbalan  Perdana Menteri dan juga sebagai Menteri Dalam Negeri, Kementerian ingin merujuk kepada laporan-laporan akhbar yang memetik Mohammad Shafiul Alam, Setiausaha Kabinet Kerajaan Bangladesh sebagai berkata bahawa Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed telah meluluskan Memorandum Persefahaman G-to-G Plus (MOU G-to-G Plus) bagi penghantaran pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta untuk bekerja di Malaysia.

3. Sukacita Kementerian ingin memberi pencerahan jelas terhadap analisa-analisa pra-matang, ulasan-ulasan daripada pendokong dan pengkritik serta untuk meredakan kebimbangan dan keperihatinan rakyat mengenai cadangan MOU G-to-G Plus tersebut.

4. Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas di dalam media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan Kerajaan Bangladesh untuk tujuan pekerjaan. Dalam konteks dasar penggajian pekerja asing Malaysia, pengambilan pekerja Bangladesh adalah tertakluk kepada permintaan industri bagi sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing selaras dengan konsep permintaan dan penawaran atau supply and demand. Kerajaan juga tetap memastikan bahawa keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan adalah didahulukan atau our people first.

5. Penggajian pekerja Bangladesh dibuat sebagaiusaha memantapkan lagi pelaksanaan mekanisme sedia ada yang sekarang ini hanya terhad kepada sektor perladangan sahaja.Kedua-dua Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan mekanisme baharu yang dikenali sebagai G-to-G Plus. Mekanisme ini dilihat sebagai kaedah terbaik sekiranya diperluaskan ke sektor-sektor lain daripada segi mempercepatkan urusan permohonan majikan dan menjamin kelicinan proses pengambilan pekerja Bangladesh.

6. Pembukaan negara Bangladesh kepada semua sektor formal yang dibenarkan juga akan memberi pilihan tambahan kepada majikan untuk menggajikan pekerja selain daripada 14 negara sumber sedia ada yang lain.

7. MOU Penggajian G-To-G Plus bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia telah dibentangkan, dibincangkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 22 Disember 2015.

8. MOU ini juga telah dipersetujui oleh Kerajaan Bangladesh sepertimana yang telah diumumkan oleh Setiausaha Kabinet Kerajaan Bangladesh pada 8 Februari 2016.

9. Konsep G-to-G Plus menggunakan sepenuhnya sistem atas talian bermula proses permohonan pekerja bagi mengawal penglibatan agen pekerja asing tidak sahyang menyumbang kepada kenaikan kos penggajian serta risiko kepada eksploitasi pekerja asing. Pelaksanaan G-to-G Plus secara atas talian adalah bagi meminimumkan kos penggajian pekerja dan cost of doing business kepada majikan. Kerajaan juga berpandangan bahawa mekanisme ini juga akan menaikkan penarafan Malaysia di dalam usaha-usaha pencegahan terhadap aktiviti-aktiviti jenayah pemerdagangan orang atau anti-trafficking in persons crimes.

10. Perlu ditekankan di sini, bahawa tiada satu angka yang mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kelak kerana ianya akan bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat dan akan dinilai berdasarkan kelayakan serta kemampuan setiap majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Mekanisme ini akan dipantau dan dikawalselia oleh Kerajaan melalui Agensi Kawal Selia untuk setiap sektor bagi mengelakkan berlakunya kebanjiran pekerja asing dalam negara dan membenarkan hanya mereka yang layak sahaja bekerja di Malaysia.

11. Kerajaan masih memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu. Kemasukan buruh asing ke negara ini tidak akan menjejaskan dan menggugat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta keseimbangan pasaran buruh dalam negara kerana pekerja asing ini hanya dibenarkan bekerja di lima (5) sektor formalyang dibenarkan untuk menggaji pekerja asing sahaja iaitu sektor pembinaan, perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

------------------------------------
Kementerian Dalam Negeri
11 Februari 2016