Saturday, February 13, 2016

AL-QURAN DAN ASSUNNAH

AL_QURAN adalah kalam ALLAH. As Sunnah adalah pekerti Rasulullah SAW. Kalam ALLAH memberi petunjuk dan pedoman supaya kehidupan manusia terarah. Pekerti Rasulullah SAW menjadi teladan dan sumber ikutan. Al-Quran dan As Sunnah adalah suatu sinergi (ikatan) supaya tasawwur Islami sifatnya merangkumi.

Hari ini terdapat gerakan anti hadis yang difatwakan sebagai menyimpang dari tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Al-Quran adalah petunjuk kepada manusia khususnya orang-orang yang bertakwa kerana ia terkandung ilmu terhadap yang nyata dan ghaib. As Sunnah adalah manifestasi al-Quran dalam bentuk amalan sehingga Siti Aishah isteri Nabi menyebutkan akhlak Rasulullah SAW sebagai Khuluqul Quran atau akhlak al-Quran.

Gerakan anti hadis yang antara lain dipelopori oleh Rashad Khalifah dari Tuscon, Arizona di Amerika Syarikat dengan Kod 19nya didapati menyeleweng dan gerakan anti hadis dipopularkan oleh Kassim Ahmad di Malaysia sejak 1986 dengan penulisan buku-buku berkaitan dengan isu tersebut.      

Dalam suatu seminar mengenai Pemikiran Kasim Ahmad: Suatu Penilaian yang diadakan pada 15-16 Februari 2014 antara kenyataan dari pembentang yang menyentuh berkaitan agama ialah :

i) Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

ii) Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

iii) Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

iv) Mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafie yang memulakan doktrin baharu dengan menyatakan hadis sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran.

v) Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu.

Pendekatan golongan anti-hadis sangat bahaya dan tergolong dalam kelompok yang memperjuangkan liberalisme. Pendukung gerakan ini bukan dalam kalangan ulama dan ilmuwan muktabar yang mendalami bahasa Arab, tafsir al-Quran dan pemahaman terhadap hadis. Logik akal dan mengambil pendekatan hermenutika (pendekatan menilai Bibel zaman Protestan suatu ketika dulu) dalam melakukan penilaian terhadap al-Quran.

Al-Quran dan As Sunnah mempunyai sejarah panjang berada dalam kerangka sinergi yang sifatnya saling melengkapi dan saling mengukuhkan. ALLAH SWT mengutus para Rasul sebagai pembawa risalah dan memiliki pekerti contoh untuk menjadi sumber ikutan manusia.

Perawi dan pentafsir hadis seperti Bukhari dan Muslim, Nasai, Ibn Majah dan lain-lain adalah ulama-ulama yang dihormati dan memiliki kualiti perawian yang diiktiraf. Tafsiran mereka melengkapi tafsir dalam al-Quran dengan membuat rujukan kepada al-Quran dan dijadikan juga sebagai sumber hukum.

Memisahkan al-Quran dengan Hadis atau Sunnah Nabi ibarat menghilangkan roh dari jasad. Islam akan jadi cacat dan tasawwur Islami menjadi tidak lengkap. Al-Quran memiliki sumber aqidah, ibadah, syariah dan akhlak. Sunnah Nabi SAW yang dirujuk dari al-Quran dan menjadi pedoman dan contoh kepada kehidupan Rasulullah SAW penting bagi rujukan umat manusia.

Tanpa Rasulullah SAW dengan kekuatan sirah dan Sunnahnya manusia tidak akan ada sumber teladan dan ikutan. Sumber ini sangat penting supaya manusia memiliki sumber ikutan dalam hidup dan ibadah. Oleh itu al-Quran tanpa Sunnah menjadikan tasawwur Islami tidak lengkap.

Dalam melakukan usaha dakwah umpamanya Nabi merujuk al-Quran dalam Surah An Nahl ayat 125 mengenai dustur (code) dakwah. Pendekatan bijaksana dan sifatnya menyantuni dan berhujah menggunakan hujah al-Quran menjadi Sunnah Nabi. Lalu ia menjadi ikutan dan teladan kepada para dai’ dan murabbi dan menyebabkan Islam berkembang di kalangan umat manusia sehingga kini.

Justeru Sunnah Nabi menjadi sesuatu yang amat penting dikaji, dipelajari dan diamalkan seperti pentingnya mengkaji dan memahami al-Quran supaya wujud sinergi untuk melihat Islam sebagai Suatu Sistem

Kepercayaan dan Suatu Cara Hidup.

Menepati maksud Deenul Islam Al-Quran adalah wahyu daripada ALLAH dan Rasulullah SAW adalah Qudwah Hasanah (contoh terbaik) al-Quran memberi pedoman IIallazi naamanu waamilussalihat yang memberi asas mengenai keimanan dan amal soleh ibarat menyantuni al-Quran dengan sifat amaliah yang tinggi.


* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)