Thursday, April 18, 2013

MAT SABU BERFIKIRAN CETEK

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu sebagai seorang pemimpin yang berfikiran cetek kerana mempertikaikan lagu patriotik yang sering berkumandang di radio dan televisyen ketika ini.
   
Katanya, lagu patriotik yang dimainkan ketika ini adalah atas permintaan beliau kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, sebagai memperingati jasa dan pergorbanan pejuang negara.
   
"Saya nak beritahu Mat Sabu, saya yang minta daripada Rais Yatim supaya memainkan lagu (patriotik) "Perwiraku" dan "Barisan Kita" disebabkan yang bertugas di Lahad Datu itu bukan hanya orang Sabah, malah ada orang Semenanjung dan orang Sarawak.
   
"Mereka perlu ingat yang tinggal di belakang mereka ialah isteri dan anak-anak, dan lagu ini beri semangat dan inspirasi kepada yang ditinggalkan... tidak ada tujuan politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama anggota tentera di Kem Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini.
   
Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, hanya orang yang berfikiran "politik kotor" sahaja gagal mentafsirkan semua perkara baik yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
   
Zahid mengulas dakwaan pemimpin Pas itu yang memperlekehkan pasukan keselamatan apabila mendakwa lagu patriotik yang sering berkumandang bagi menghargai jasa mereka mempertahankan negara kononnya tidak lebih sekadar hiburan untuk mereka sahaja.
   
Dalam ceramah yang disampaikan di Kampung Tedong, Jasin, Melaka  baru-baru Mat Sabu juga terus menuduh insiden anggota pasukan keselamatan negara yang terbunuh ketika bertempur dengan pengganas di Lahad Datu, sebagai permainan politik BN dan Umno. 

No comments:

Post a Comment