Thursday, December 17, 2015

MCDONALD'S MALAYSIA DIFITNAH: Pemuda Selempang Merah Bangkit Membela


Rakyat Malaysia terutama orang Islam amat sensitif dengan nama Israel dan isu Palestin. Oleh itu apa sahaja perkara yang membabitkan dua nama tersebut boleh mengundang kemarahan mereka.

Umat Islam di seluruh dunia amnya dan Malaysia khasnya, mempunyai ikatan kukuh yang tersendiri dengan rakyat Palestin. Justeru itu, apa sahaja isu yang melibatkan Palestin akan memberi impak spiritual dan emosi kepada mereka. 

Maka, tidak hairanlah  beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memboikot perniagaan-perniagaan tertentu yang dikaitkan dengan Israel.

McDonald's Malaysia merupakan  antara entiti perniagaan yang menjadi mangsa sehinggakan wujud mitos setiap sen yang disumbangkan oleh pengguna kepada McDonald's Malaysia dianggap telah memberi sumbangan sebutir peluru kepada Israel bagi membunuh rakyat Palestin. 

Sehingga kini tiada satu bukti dikemukakan menunjukkan McDonald's Malaysia menyumbang kepada Israel.

Tiada satu fakta yang dikemukakan sebagai bukti bahawa McDonald's Malaysia mempunyai perkaitan  dengan negara Israel.

Dakwaan bahawa McDonald's Malaysia antara penyumbang terbesar kepada negara haram Israel adalah fitnah besar yang mungkin telah dirancang atas tujuan-tujuan tertentu.   
Ini adalah siri kedua saya dalam membongkar kebenaran disebalik fitnah yang dilemparkan kepada McDonald's Malaysia.

Sebelum ini saya sudah menjelaskan mengapa boikot ini dikatakan satu kesilapan. (McD tiada kaitan dengan Israel). 

Antara sebab lain yang dikatakan menjadi punca utama McDonald's Malaysia diboikot adalah kerana McDonalds Corporation dituduh menyalurkan dana kepada satu pertubuhan Yahudi yang dikenali sebagai Jewish United Fund (JUF) yang terletak di Chicago, Amerika Syarikat.  

Sebenarnya JUF hanyaah salah satu dari ribuan badan kebajikan yang berdaftar di Amerika. Boleh jadi kerana ada perkataan "Jewish" ( Yahudi) menyebabkan orang kita memboikot McDonald's Malaysia. Oleh itu adalah lebih baik kita menyelusuri apa sebenarnya kaitan McDonald's Corporation dan JUF ini.

JUF dikatakan menerima dana dari McDonald's Corporation melalui satu program yang dikenali sebagai "Matching Gift Program". 

Sebenarnya bukan hanya JUF sahaja menerima sumbangan dari  McDonald's Corporation melalui Matching Gift, malahan ribuan  lagi badan kebajikan yang menerima sumbangan tersebut termasuklah badan-badan kebajikan Islam di Amerika.  

Macthing Gift merupakan satu program sumbangan atau derma kepada badan-badan yang mempromosi program pendidikan , kebudayaan, sivil, anak muda dan kesihatan. 

Melalui program ini, McDonald's  Corporation memberi sumbangan kebajikan dan dana melalui pekerja-pekerjanya.  Mereka akan menentukan aktiviti kebajikan, nilai dana, bentuk derma serta badan kebajikan yang layak dibantu dan diberi sumbangan TANPA CAMPURTANGAN pengurusan McDonald's Corporation.  

Pada 2014 sahaja lebih dua ribu derma telah dibuat oleh pekerja-pekerja McDonald's Corporation kepada badan-badan kebajikan dan hanya tiga diperuntukan kepada JUF.          

Tidak ada yang luar biasa dengan program ini. Ia merupakan amalan biasa bagi syarikat-syarikat korporat besar di seluruh dunia menyertai program seperti ini sebagai suatu Corporate Social Responsibility (CSR) mereka. Dan sebagai maklumat tambahan, Matching Gift ini hanya diamalkan di negara Amerika Syarikat sahaja, tiada di negara-negara lain temasuk Malaysia. Ini bermakna McDonald's Malaysia tidak terlibat dalam apa-apa derma yang dibuat oleh McDonald's Corporation. 

Seperti yang saya jelaskan pada artikel yang lepas, McDonald's Malaysia tidak boleh dibabitkan dengan sebarang aktiviti yang dibuat oleh McDonald's Corporation kerana McDonald's Malaysia hanyalah pemegang francais dan tidak terlibat secara langsung dengan polisi atau aktiviti McDonald's Corporation. 

Oleh itu adalah tidak wajar boikot ini dilakukan atas alasan tersebut apatah lagi tiada langsung bukti dalam program Macthing Gift ini JUF memberi sumbangan kepada negara Israel untuk menzalimi rakyat Palestin. 

Rakyat Malaysia perlu mengetahui perkara sebenar dan bertindak secara rasional tanpa diracuni sentimen kebencian yang melampau.  

PEMUDA SELEMPANG MERAH (Bani Jawi)

No comments:

Post a Comment