Sunday, July 5, 2015

KPDNKK BERTINDAK

Sebanyak 635,876 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara dan 1,545 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan Ops Catut fasa II bermula 1 April hingga 5 Jun lepas.  
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, jumlah keseluruhan kompaun pula ialah RM270,870 dengan jumlah rampasan bernilai RM353,171.
 
"Penekanan juga diberikan terhadap pemeriksaan cross-border oleh anggota-anggota penguatkuasa. Setakat ini sebanyak 11,791 pemeriksaan cross-border telah dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Arena Square di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi yang melakukan pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 176 kes menerusi 70,899 pemeriksaan pada operasi tersebut dan diikuti Sabah sebanyak 46 kes.
 
 Mengenai jumlah keseluruhan aduan yang diterima oleh KPDNKK, Hasan berkata sebanyak 18,556 aduan diterima bagi tempoh 1 Januari hingga 3 Julai lepas.
 
Katanya bulan Januari mencatatkan sebanyak 1,282 aduan diikuti Februari (1,280), Mac (1,625), April (9,281), Mei (2,857), Jun (2,074), Julai (157).
 
Hasan berkata isu harga barang merupakan isu yang sentiasa menjadi keutamaan KPDNKK.

Beliau berkata isu tersebut sengaja diada-adakan oleh pelbagai pihak bagi menimbulkan rasa kebimbangan rakyat.
 
"Sebenarnya pengguna tiada masalah tetapi yang menjadi masalah adalah sebahagian kecil peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dengan alasan GST," katanya.
 
Beliau berkata kira-kira 2,100 anggota penguat kuasa di seluruh negara sentiasa memeriksa, memantau dan menyiasat setiap jenis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang.
 
"Kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan caj bagi perkhidmatan dengan mengambil keuntungan tinggi secara tidak munasabah," katanya. - Bernama 

No comments:

Post a Comment